Mesir Beri Jaminan Permudah bantuan Kemanusiaan Malaysia Ke Gaza – Anwar

KUALA LUMPUR, 29 Mac — Mesir memberikan jaminan dan komitmen jelas untuk mempermudah penyaluran 374 tan bantuan kemanusiaan dari Malaysia kepada penduduk Palestin di Gaza melalui pintu sempadan Rafah bermula pada April ini, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata perkara itu dicapai hasil perbincangan beliau bersama-sama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi baru-baru ini bagi memohon kerjasama negara itu dalam melancarkan urusan logistik penghantaran barangan bantuan berkenaan.

“Alhamdulillah, Presiden El-Sisi memberikan jaminan dan komitmen jelas untuk memastikan akses ini dipermudah, sekali gus membolehkan bantuan segera disalurkan kepada lebih 100,000 penduduk Gaza yang amat memerlukan,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa Malaysia tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang halangan, khususnya daripada rejim Zionis Israel yang terus merencatkan usaha kemanusiaan berkenaan.

“Dalam saat dunia diuji dengan ketidakpedulian dan hipokrasi, Malaysia akan terus berdiri sebagai suara yang berprinsip dan bermaruah, mempertahankan hak mereka yang tertindas.

“Mohon doa agar segala urusan dipermudah dan bantuan ini sampai dengan selamat kepada saudara kita di Gaza, insya-Allah,” kata Anwar.