Pemain Industri Digalak Bawa Hasil R&D Kepada MPOB Untuk Dikomersialkan – Johari

BANGI, 19 Jun — Kementerian Perladangan dan Komoditi mengalu-alukan penyertaan pemain industri yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk bekerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam usaha mengkomersialkan hasil inovasi berasaskan sawit.

Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata walaupun MPOB kekal aktif menjalankan penyelidikan, pendekatan baharu kini memberi lebih ruang kepada pihak industri yang telah menjalankan sebahagian besar kerja R&D untuk mendapatkan sokongan daripada MPOB bagi membolehkan produk mereka dipasarkan secara meluas.

“Dulu MPOB banyak buat R&D sendiri dan industri guna hasil penyelidikan itu. Tapi hari ini, kita lihat ramai individu atau syarikat yang sudah belanja banyak duit, kadang-kadang sampai 70 peratus penyelidikan dah dibuat, tinggal lagi 30 peratus untuk lengkapkan dan komersialkan.

“Kalau MPOB boleh bantu lengkapkan 30 peratus itu dan endorse (sokong), maka ia boleh dikomersialkan. Dari situ, pencipta akan dapat faedah dan MPOB juga akan dapat royalti,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB) 2025, di sini, hari ini.

Johari berkata, kredibiliti MPOB sebagai agensi penyelidikan yang berwibawa memberi keyakinan kepada pemain industri untuk membawa hasil penyelidikan mereka ke peringkat komersial.

“Kita tak boleh hadkan kepada satu institusi sahaja. Kita kena buka ruang. Banyak peluang dalam bidang teknologi, makanan, aplikasi sawit dan sebagainya. Kita galakkan orang luar datang ke MPOB untuk dapatkan endorsement (sokongan),” katanya.

Mengenai sama ada kerajaan akan menyediakan insentif kepada syarikat yang mahu mengkomersialkan produk R&D mereka, Johari berkata setakat ini tiada peruntukan khusus bagi tujuan tersebut di bawah belanjawan kementerian.

“Peruntukan yang diberi kepada MPOB adalah khusus untuk R&D MPOB. Namun agensi kerajaan lain pun ada peruntukan sendiri dalam sektor masing-masing iaitu digital, makanan dan sebagainya.

“Kalau mereka ada R&D dan mahu masuk ke dalam sektor perladangan sawit, mereka boleh datang ke MPOB untuk mohon endorsement (sokongan),” katanya.

Program TOT MPOB 2025 itu diadakan bertujuan memindahkan teknologi dan pengetahuan penyelidikan kepada pekebun kecil dan pemain industri agar dapat dimanfaatkan secara praktikal bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti hasil sawit negara.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda