Pembukaan Kedutaan Kosovo Di Kuala Lumpur Langkah Penting Jalin Hubungan Dengan Asia Tenggara – Presiden Kosovo

KUALA LUMPUR, 2 Mei — Presiden Kosovo Dr Vjosa Osmani Sadriu menyifatkan pembukaan Kedutaan Kosovo di Kuala Lumpur sebagai pencapaian strategik dalam usaha memperluas kehadiran diplomatik negaranya di tengah-tengah satu daripada  rantau paling dinamik di dunia, Asia Tenggara.

Berucap pada majlis pembukaan rasmi kedutaan itu pada Jumaat, beliau berkata penubuhan Kedutaan Kosovo mencerminkan hasrat negaranya untuk membina hubungan jangka panjang dengan negara anggota ASEAN serta meningkatkan profil negara itu di persada antarabangsa.

Beliau menyifatkan pembukaan itu sebagai langkah strategik dan tepat pada masanya – satu jambatan penting ke rantau yang sedang membentuk masa depan pasaran global, dasar antarabangsa, dan kedinamikan abad ke-21 yang sedang berkembang. 

“Melalui langkah ini, Kosovo menyatakan komitmennya untuk memperkukuh kerjasama dengan Malaysia terlebih dahulu – merangkumi bidang diplomasi, pertukaran ekonomi, pendidikan dan kebudayaan.

“Dengan adanya kedutaan di Kuala Lumpur, Kosovo kini berpeluang memperluas kerjasama dua hala secara konkrit – merangsang pelaburan bersama, mengembangkan perdagangan, menjalin kerjasama dalam pendidikan dan teknologi, serta menggiatkan usaha bersama di forum pelbagai hala, dalam usaha mendapatkan pengiktirafan lebih luas, pakatan yang lebih kukuh dan menyumbang secara bermakna kepada keamanan dan pembangunan dalam agenda global,” katanya.

Terdahulu pada Jumaat, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan penubuhan kedutaan itu sebagai detik penting dalam memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Kosovo.

Osmani kini sedang dalam lawatan rasmi empat hari ke Malaysia bermula Khamis. Ini merupakan lawatan rasmi pertama beliau ke negara ini sejak memegang jawatan Presiden pada 4 April 2021.

Menurut Osmani, hubungan Kosovo dan Malaysia bukan sahaja terjalin ketika waktu sukar dalam sejarah Kosovo, tetapi turut dibina atas asas kerjasama masa depan dan potensi yang ingin dicapai oleh kedua-dua negara dan rakyatnya.

Memetik peribahasa Melayu “Bersatu teguh, bercerai roboh”, Presiden Osmani berkata sesebuah kedutaan bukan sekadar bangunan, tetapi menjadi jendela interaksi antara Kosovo dengan dunia.

“Ia adalah tempat kami memerhati, mendengar dan menjalin hubungan bermakna antara rakyat dan negara. Lebih daripada itu, sesebuah kedutaan ialah rumah kepada sebuah negara di bumi asing. Ia melambangkan suara, kehadiran dan kepercayaan kami – terpancar melalui bendera yang dikibarkan, nilai yang dibawa dan rakyat yang mewakili kami,” katanya.

Pada majlis itu, Presiden Osmani turut menganugerahkan “The Order of Independence” secara anumerta kepada bekas Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi, sebagai menghargai sumbangan beliau terhadap keamanan dan kebebasan Kosovo, serta sokongan padu terhadap proses kemerdekaan dan pembinaan negara itu.

Anugerah tertinggi negara Kosovo itu diterima oleh menantu Allahyarham, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Osmani berkata Tun Abdullah, yang pernah beliau temui pada 2008, amat layak menerima pengiktirafan tertinggi itu  atas sokongan tidak berbelah bahagi kepada kemerdekaan Kosovo serta usaha beliau meraih sokongan antarabangsa daripada pemimpin dunia ketika itu.

Sementara itu, Khairy ketika ditemui pemberita berkata beliau turut mendapat inspirasi dengan dedikasi Abdullah dalam memperjuangkan kemerdekaan Kosovo serta mengumpul sokongan daripada masyarakat antarabangsa pada ketika itu.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Pengiring Fadhlina Sidek, anggota kor diplomatik serta wakil-wakil daripada komuniti perniagaan.

Malaysia secara rasmi mengiktiraf Kosovo pada 30 Okt 2008, menjadikannya antara negara Asia terawal berbuat demikian. Hubungan diplomatik kedua-dua negara dimeterai pada 18 Mac 2011.

Pada 2024, jumlah perdagangan dua hala Malaysia-Kosovo mencecah RM28.55 juta (US$6.0 juta), dengan eksport Malaysia bernilai RM25.92 juta (US$5.5 juta) manakala import berjumlah RM2.63 juta (US$550,000).

Antara eksport utama Malaysia ialah minyak sawit, produk elektrik dan elektronik, serta barangan perkilangan, manakala import dari Kosovo kebanyakannya terdiri daripada bahan mentah dan batu separa berharga.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda