Pempengaruh Taiwan Ditemukan Mati Di Hotel Disiasat Sebagai Kes Bunuh

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Polis mengklasifikasikan semula kes melibatkan pempengaruh wanita warganegara Taiwan yang ditemukan meninggal dunia di sebuah hotel di sini pada 22 Okt lepas, sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata kes itu sebelum ini disiasat sebagai mati mengejut.

“Siasatan lanjut mengenai kes ini sedang dijalankan dan tangkapan akan dijalankan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan ringkas di sini hari ini.

Terdahulu media melaporkan mayat pempengaruh itu ditemukan dalam bilik hotel sama pemuzik Wee Meng Chee, atau lebih dikenali sebagai Namewee ditahan kerana disyaki memiliki dan menggunakan dadah.

Semasa serbuan pada 4.30 petang 22 Okt, polis menjumpai sembilan pil berwarna biru disyaki ekstasi dengan anggaran berat 5.12 gram.

Pemuzik berkenaan kemudian didakwa di Mahkamah Kuala Lumpur 24 Okt lepas atas dua pertuduhan mengikut  Akta Dadah Berbahaya 1952 iaitu Seksyen 39A(1) kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) kerana menggunakan dadah.

Namewee mengaku tidak bersalah dan mahkamah membenarkan dia diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Dis depan.