Penangguhan Kenaikan Kadar Tol Beri Manfaat Kepada Lebih 900,000 Pengguna

KUALA LUMPUR, 23 Julai — Kira-kira 941,000 pengguna akan mendapat manfaat berikutan penangguhan kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya di seluruh negara, seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata langkah penangguhan itu, akan dapat meringankan beban pengguna lebuh raya khususnya pengguna harian yang berulang alik dari rumah ke tempat kerja setiap hari.

“Seperti disebutkan Perdana Menteri, pada tahun ini kadar tol di 10 lebuh raya terbabit dijadual akan dinaikkan selaras dengan perjanjian yang telah ditandatangani pentadbiran kerajaan terdahulu sebelum ini.

“Bagaimanapun, Kerajaan MADANI amat memahami tekanan kos sara hidup yang sedang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebagai balasan terhadap komitmen itu, kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) akan menanggung pampasan lebih RM500 juta kepada syarikat konsesi yang terlibat, agar operasi dan penyelenggaraan lebuh raya tetap berjalan dengan baik dan selamat untuk semua.

Nanta berkata keputusan itu bukan mudah, namun ia dibuat dengan pertimbangan yang sangat teliti dan penuh tanggungjawab.

“Ia membuktikan bahawa suara rakyat didengari dan diberi keutamaan dalam setiap dasar yang dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI.

“Saya dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya akan terus komited memastikan jalan raya dan lebuh raya negara sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan mampu dimanfaatkan oleh semua golongan rakyat, tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri ketika mengumumkan penghargaan untuk rakyat Malaysia hari ini berkata kerajaan bersetuju menangguh kenaikan kadar tol bagi 10 lebuh raya supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama.

Antara lebuh raya yang terlibat ialah Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX).

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda