Perkhidmatan Aerotrain KLIA Beroperasi Semula 1 Julai

SEPANG, 21 Jun — Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) beroperasi semula pada 1 Julai ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata perkhidmatan yang akan beroperasi bermula 10 pagi itu, kini di peringkat akhir percubaan bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap terbaik.

“Projek Aerotrain telah siap dilaksanakan dan pelbagai percubaan dilakukan untuk memastikan keselamatannya. 

“(Ketika ini) Aerotrain akan menjalani percubaan dan beberapa ujian akhir termasuk ujian penting tindak balas kecemasan,” katanya pada sidang media selepas meninjau perkhidmatan itu di sini hari ini.

Aerotrain merupakan sistem pengangkutan dalaman utama KLIA sejak beroperasi pada 1998, dan digantung perkhidmatan pada Mac 2023 kerana mengalami kerosakan.

Loke berkata Aerotrain baharu dengan tiga gerabak itu menawarkan perkhidmatan tahap tinggi dengan kapasiti 270 penumpang bagi setiap perjalanan.

“Terdapat dua tren beroperasi secara selang-seli. Secara keseluruhannya kita mempunyai tiga set tren dengan dua beroperasi sepanjang masa manakala satu sebagai simpanan,” katanya.

Bagi memastikan Aerotrain sentiasa dalam keadaan baik, beliau berkata perkhidmatan itu beroperasi di kedua-dua landasan pada waktu puncak manakala satu landasan di luar waktu puncak. 

“Kita hendak memastikan tren diselenggara dengan baik bagi aspek keselamatan. Ini sebabnya kita mengambil masa membuat pelbagai ujian termasuk dipantau Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

Loke berkata pengoperasian semula Aerotrain amat penting sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) selain mengambil kira peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.

“Lebih banyak mesyuarat ASEAN akan diadakan beberapa bulan ini hingga akhir tahun termasuk satu lagi sidang kemuncak di Kuala Lumpur,” katanya. 

Sementara itu, Loke berkata perkhidmatan bas perantara tetap diteruskan bagi memastikan kemudahan maksimum kepada penumpang di lapangan terbang itu.

“Kita ingin memastikan pergerakan penumpang dalam KLIA berjalan lancar,“ katanya.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Jana Santhiran Muniayan, Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) Datuk Mohd Izani Ghani dan Ketua Pegawai Operasi MAHB Gordon Andrew Stewart.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda