PUTRAJAYA, 9 Mac — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan kebimbangan terhadap penglibatan remaja sekolah dalam aktiviti kumpulan pengganas di negara ini.
Beliau berkata pendedahan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengenai kewujudan gejala itu perlu diberi perhatian serius kerana ia menunjukkan satu kegiatan yang mungkin berpunca daripada salah didikan.
“Baru-baru ini saja, muncul anak-anak sekolah, belasan tahun pun terlibat dalam persiapan kegiatan ke arah keganasan (seperti) yang diumumkan oleh Ketua Polis Negara. Anak-anak kita (yang terlibat mungkin) salah didikan (atau) salah pendedahan (di peringkat tertentu),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sebelum ini, Mohd Khalid berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas baru-baru ini.
Mohd Khalid berkata suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.
Sementara itu, Anwar menyeru rakyat Malaysia untuk terus bersatu padu dan menjaga keamanan yang dikecapi pada masa ini.
Beliau berkata walaupun keadaan negara ketika ini aman, rakyat diingatkan supaya tidak mengambil sikap selesa manakala agensi pertahanan negara pula perlu sentiasa dalam keadaan bersiap-siaga bagi mendepani sebarang kemungkinan.
“Ada rencana-rencana luar asing yang cemburu dan mahu campur tangan dalam urusan politik kenegaraan kita. Ini harus menyebabkan kita lebih waspada,” katanya.
















Tinggalkan Balasan