Prasarana Lancar 310 Bas Diesel Baharu Bagi Lembah Klang, Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 14 Julai — Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) hari ini melancarkan sebanyak 310 bas diesel di bawah Program Penggantian Bas 2025, dalam usaha memperkukuh perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang dan Pulau Pinang.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata ia pembelian terakhir bas diesel oleh Prasarana, sejajar dengan komitmen kerajaan untuk beralih kepada sistem pengangkutan awam yang lebih lestari, mesra alam, dan rendah karbon.

“Sebagai pengendali utama pengangkutan awam negara, Prasarana memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan bas dan tren yang selamat, cekap dan boleh dipercayai dan dengan kehadiran bas baharu ini, saya yakin mutu perkhidmatan akan terus dipertingkatkan untuk memberikan keselesaan, keselamatan dan akses yang lebih baik kepada rakyat.

“Program ini sebahagian daripada strategi jangka panjang Prasarana untuk memperbaharui aset lama dan memperkukuh keupayaan operasi, selaras dengan aspirasi Kementerian Pengangkutan dan kerajaan Malaysia untuk memperkasakan sistem pengangkutan awam,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Memperkenalkan Bas Diesel Baharu, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat Datuk Azlan Shah Al Bakri, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Mohd Azharuddin Mat Sah dan Pengerusi Rapid Bus Datuk Seri Mustafar Ali.

Loke berkata kesemua bas diesel berkenaan akan beroperasi secara berperingkat di laluan terpilih terutamanya di kawasan berpenduduk padat dengan permintaan tinggi, bagi memastikan rakyat mendapat akses lebih kerap dan mesra pengguna.

Beliau berkata kesemua 310 bas tersebut dari jenama Higer, yang dipilih melalui penilaian menyeluruh berdasarkan kriteria teknikal, keselamatan dan kebolehpercayaan.

“Walaupun bas ini diimport dari China, semua komponen dipasang sepenuhnya di Johor, menyokong agenda pemindahan teknologi dan pembangunan industri automotif tempatan. Manfaat program ini bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi juga membangunkan kepakaran tempatan serta membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

“Bas-bas ini memenuhi piawaian pelepasan Euro 5, satu piawaian global yang ketat dalam kawalan pelepasan bahan pencemar, termasuk gas nitrogen oksida (NOx). Ini akan membantu meningkatkan kualiti udara, khususnya di kawasan bandar utama,” katanya.

Beliau berkata kementerian sedang bersiap sedia untuk peralihan ke fasa penggunaan bas elektrik sepenuhnya menjelang 2037, selain menegaskan bahawa penerimaan bas diesel bukan sahaja menambah aset tetapi ia juga menandakan permulaan fasa penutup penggunaannya.

Loke berkata kementerian komited dalam memastikan sektor pengangkutan awam negara terus maju dengan pendekatan mesra alam dan teknologi mampan, dan perkara ini selaras dengan komitmen Prasarana dalam mendokong matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030 (LCMB).

“Saya amat berbangga dengan komitmen tinggi Prasarana dalam menyokong pelan-pelan ini secara strategik dan berkesan, termasuk dengan pembinaan fasiliti pengecasan, latihan teknikal dan penyelenggaraan yang giat dilaksanakan.

“Saya menyeru agar semua pihak, baik sektor awam mahu pun swasta, untuk terus bekerjasama memartabatkan pengangkutan awam sebagai pilihan utama rakyat,” katanya.

Loke dalam pada itu turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Azharuddin yang menamatkan tempoh perkhidmatan hari ini, atas sumbangan beliau kepada sektor pengangkutan negara dan melakukan perubahan dalam transformasi Prasarana secara keseluruhan.

“Ada banyak penambahbaikan dibuat khasnya tempoh dua ke tiga tahun ini dalam Rapid Rail, Rapid Bus dari segi prestasi operasi tren khususnya bertambah baik,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda