PUTRAJAYA, 17 April – Presiden China Xi Jinping pada Rabu menzahirkan komitmen utuh untuk terus memperkasakan kerjasama dua hala dengan Malaysia.
Xi berkata beliau sedia bekerja keras bersama-sama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk terus memajukan komuniti China-Malaysia dengan masa depan dalam hala tuju strategik di peringkat tinggi dan membawa lebih banyak manfaat kepada rakyat kedua-dua negara selain menyumbang kepada kemakmuran serantau.
“Semoga silaturahim antara China dan Malaysia terus mekar demi generasi akan datang. Ini adalah kedatangan semula saya ke Malaysia selepas 12 tahun. Malaysia telah mencapai kejayaan baharu dalam pembangunan negara.
“Saya ucapkan tahniah atas kejayaan advokasi anda iaitu ‘Malaysia MADANI’ yang sedang direalisasikan dengan begitu indah,” katanya ketika berucap sebelum memulakan mesyuarat dua hala antara kedua-dua negara di sini.
Beliau berkata silaturahim antara China dan Malaysia, yang merentasi jarak ribuan batu serta terjalin sejak sekian lama, telah dipupuk melalui sejarah, pertukaran budaya selain diperkukuh oleh manfaat bersama dan dipertingkat menerusi solidariti ketika mendepani kesukaran.
Xi turut berkongsi kisah Laksamana Zheng yang pernah berkunjung ke Semenanjung Tanah Melayu sebanyak lima kali dan berkata lebih 50 tahun lepas, kedua-dua negara berjaya melupakan insiden Perang Dingin untuk menjalinkan hubungan diplomatik.
“Dari masa kita bersama-sama mengharungi tempoh sukar ketika dilanda pandemik COVID-19 hinggalah ke hari ini yang menyaksikan usaha untuk membina komuniti yang berkongsi masa depan, hubungan China-Malaysia telah memasuki era baharu.
“Ia mencerminkan nilai bersama kita dalam bersatu hati, melayan satu sama lain dengan ikhlas, menegakkan keadilan dan menghargai keharmonian.
“Kesemua nilai ini merangkumi kebijaksanaan daripada segi sejarah dan keberanian rakyat kita selain melambangkan legasi bersama yang begitu bernilai dan amat kita hargai,” katanya.
Antara kenamaan yang hadir ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Tinggalkan Balasan