China merupakan antara pasaran pelancongan berpotensi tinggi yang mampu merancakkan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan industri pelancongan tempatan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Tiong King Sing berkata perkara itu turut mengambil kira jumlah penduduk China yang besar serta potensi tinggi pelancong dari negara tersebut untuk memilih Malaysia sebagai destinasi utama percutian mereka.
Justeru, beliau berkata kementeriannya melalui Tourism Malaysia akan terus memperhebat usaha mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 di seluruh China.
“Saya telah meminta Tourism Malaysia untuk bertindak dengan lebih aktif dalam mempergiatkan usaha promosi destinasi pelancongan Malaysia di China termasuk menarik pontesi pelancong dari bandar-bandar peringkat ketiga dan keempat”, katanya.
Datuk Seri Tiong King Sing berkata demikian kepada CGTN-Malay selepas merasmikan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan program Malaysia My Second Home (MM2HI) di Beijing pada Jumaat.
Selain itu, beliau juga berkata Malaysia kini telah bersiap sedia untuk menyambut kehadiran pelawat antarabangsa sempena penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 yang dijangka berupaya memberi suntikan positif kepada ekonomi negara, khususnya dalam sektor pelancongan secara menyeluruh.














Tinggalkan Balasan