BAGAN DATUK, 28 Jun — Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak dan Pejabat Penghulu kawasan terlibat melakukan bancian bagi penyaluran bantuan kepada mangsa kebakaran yang memusnahkan 23 premis di Bagan Pasir Laut, Hutan Melintang dekat sini pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bagan Datuk Nazrul Fazami Mohamad berkata jabatan dan agensi berkaitan telah digerakkan untuk melaksanakan bancian terhadap mangsa terjejas secepat mungkin.
“JKM dan Pejabat Penghulu telah mengambil tindakan awal melakukan bancian bagi melengkapkan proses dokumentasi.
“Kami turut meminta semua mangsa membuat laporan polis bagi membolehkan bantuan bencana peringkat negeri disalurkan menerusi Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa dan lokasi kejadian hari ini.
Dalam kejadian pada 4.30 pagi tadi, sebanyak 23 premis musnah membabitkan 19 rumah kelas B dan C yang masing-masing dianggarkan seluas 92.9 meter persegi, sebuah rumah ibadat bukan Islam, dua kedai makan dan sebuah kedai runcit, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Dalam pada itu, Nazrul Fazami berkata tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini kerana semua mangsa dilaporkan menumpang di kediaman saudara-mara terdekat.
“Perjumpaan bersama wakil penduduk mendapati semua mangsa mempunyai tempat berlindung sementara, maka tiada keperluan untuk membuka PPS buat masa ini.
“Bagaimanapun, perbincangan lanjut akan diadakan dari semasa ke semasa bagi melihat keperluan membuka PPS sekiranya keadaan memerlukan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad yang turut ditemui di lokasi kejadian berkata masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca kebakaran itu.
Beliau berkata pasukan forensik JBPM masih menjalankan siasatan lanjut.
“Berdasarkan maklumat awal daripada saksi di lokasi kejadian, api dipercayai bermula dari sebuah rumah di bahagian belakang deretan premis itu.
“Susulan itu, skop siasatan telah dikecilkan dan tumpuan akan diberikan kepada rumah itu bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran,” katanya.
Tinggalkan Balasan