Teliti Semula Permohonan Pelajar Cemerlang Spm Gagal Ke IPT – TPM Ahmad Zahid

BAGAN DATUK, 17 Jun — Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) diminta meneliti semula permohonan mana-mana pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang gagal menempatkan diri ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keperihatinan dan keadilan perlu diberikan kepada mereka tanpa mengira kaum kerana mereka bukan sahaja cemerlang dalam peperiksaan tetapi merupakan harapan ibu bapa.

“Mana-mana pelajar yang tidak mendapat tempat di kolej matrikulasi, asasi atau peringkat pengajian tahun pertama di IPT, saya mengharapkan mereka ini disantuni untuk diberikan tempat, walaupun saya tahu tempat terhad tetapi mereka harus dilayan sama rata dan dicari jalan agar mereka mendapat tempat,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Kembara Kesedaran Pendidikan Anak Desa (KeDESA) Didik MADANI 2025 di Politeknik Bagan Datuk, di sini, hari ini.

Semalam, seramai 150,557 calon lepasan SPM 2024 berjaya mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan 86,589 calon ditawarkan tempat di universiti awam, 42,058 di politeknik, 20,427 di kolej komuniti dan 1,483 di institusi di bawah Mara Bahagian Pendidikan Tinggi.

Ahmad Zahid berkata beliau juga telah memohon sekretariat Majlis TVET dan Rangkaian Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) supaya mempertimbangkan kemasukan pelajar cemerlang Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) 3 hingga 5 ke institusi di bawah MTUN.

“Untuk MTUN pada hemat saya, tempat yang disediakan setiap institusi kira-kira 2,500 jadi kita ada enam universiti, jadi ada 15,000 tempat, saya harap mana-mana pelajar lepasan SKM yang tidak dapat ke mana-mana IPTA boleh kemukakan rayuan memasuki MTUN ini,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk KeDESA Didik MADANI 2025 Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang juga Penasihat Gerakan Pendidikan Bumiputera Malaysia (GPBM) berkata program itu memberi pendedahan dan saluran pendidikan tinggi kepada pelajar luar bandar dan pedalaman.

Dalam ucapannya, beliau berkata program anjuran GPBM itu mengetengahkan konsep 4M iaitu mencari pelajar berkelayakan dan memerlukan, mengenal latar sosioekonomi dan potensi pelajar, memberi kesedaran kepentingan pendidikan dan membantu pelajar dengan saluran tepat untuk menyambung pengajian.

Beliau berkata pada 2024, 10 program berjaya dianjurkan di tiga negeri iaitu Perak, Kelantan dan Terengganu dengan jumlah kehadiran keseluruhan hampir 10,000 peserta.

Pada majlis sama, Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk turut menyampaikan sumbangan dan penghargaan kepada pelajar cemerlang SPM 2024 kawasan itu. 

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda