Tiada Aset, Jalan Dilaporkan Rosak Akibat Gempa Bumi Di Sabah – Nanta

KUALA LUMPUR, 24 Feb — Tiada sebarang laporan kerosakan membabitkan aset mahupun laluan Jalan Persekutuan diterima setakat ini susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang melanda Sabah semalam, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) bagaimanapun sentiasa bersiap sedia dan memantau rapi situasi berkenaan dari semasa ke semasa.

“Saya difahamkan setakat ini kami tak ada menerima apa-apa laporan kerosakan tetapi apabila berlaku gempa bumi, memang KKR akan terus memantau situasi itu dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pelancaran Pelan Tindakan Pembinaan 2026-2030 (CAP30) di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi CIDB Malaysia Datuk Ir Yusuf Abd Wahab.

Nanta berkata Malaysia juga mengguna pakai piawaian kod reka bentuk bangunan bagi menangani ketahanan struktur terhadap bencana gempa bumi. 

Beliau berkata kod itu telah diterima pakai sejak lebih lapan tahun lepas dengan mengadaptasi standard antarabangsa dan kini menjadi antara keperluan dalam industri pembinaan negara.

“Kod ini saya difahamkan Malaysia sudah terima pakai, iaitu Malaysian National Annex to Eurocode 8 (MS EN 1998-1:2015), Design Of Structures For Earthquake Resistance sejak akhir 2017,” katanya.

Semalam, gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam namun tidak membawa sebarang ancaman tsunami.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan gempa bumi yang berpusat 49 kilometer ke barat Kudat itu tidak membawa ancaman tsunami, namun ia antara yang terkuat pernah direkodkan di negara ini dalam tempoh 11 tahun.