TPM Fadillah Ke Uzbekistan Dan Rusia Bagi Perkukuh Hubungan, Tinjau Kerjasama

KUALA LUMPUR, 19 Jun – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof akan mengadakan lawatan kerja ke Uzbekistan dan Rusia bermula Jumaat ini bagi mengukuhkan lagi hubungan ekonomi dua hala selain meninjau potensi kerjasama dalam sektor tenaga dan teknologi tinggi.

Lawatan pada 20-28 Jun itu yang juga pertama beliau ke kedua-dua negara atas kapasiti sebagai timbalan perdana menteri, turut merangkumi pertemuan dengan pemimpin kanan kerajaan.

Turut diadakan adalah perbincangan dua hala bersama pemimpin Uzbekistan dan Rusia selain kunjungan ke fasiliti strategik, termasuk infrastruktur tenaga dan hab inovasi.

Kehadiran Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air ke Uzbekistan bertujuan memperkukuh asas yang dibina sewaktu lawatan Presiden Uzbekistan Shavkat Mirziyoyev ke Malaysia pada awal tahun ini.

Di Tashkent, ibu negara Uzbekistan, beliau dijadualkan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden Mirziyoyev serta mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Tenaga Uzbekistan Jurabek Mirzamahmudov yang menjadi sebahagian usaha Malaysia meningkatkan lagi kerjasama dalam sektor tenaga.

Menurut jadual program dikeluarkan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Fadillah akan menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025 yang merupakan platform penting dalam meneratkan hubungkan perniagaan Malaysia dan Uzbekistan.

Nilai perdagangan Malaysia-Uzbekistan telah mencecah RM369.8 juta (US$80.9 juta) pada 2024, sekali gus menjadikan Uzbekistan sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di Asia Tengah.

Mengikut laporan media, imbangan dagangan memihak Malaysia dengan nilai RM360.3 juta (US$78.9 juta).

Eksport utama Malaysia ke Uzbekistan pula merangkumi minyak sawit, kopi, oleokimia berasaskan sawit, marjerin dan lelemak, makanan diproses serta minyak kelapa manakala import dari Uzbekistan terutamanya baja, buah-buahan dan tekstil.

Dalam lawatan ke Rusia bermula 24 Jun pula, Fadillah dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat Alexander Novak.

Antara agenda utama kunjungan timbalan perdana menteri adalah pertukaran perjanjian kerahsiaan yang membabitkan MyPower Corp serta badan nuklear negara itu, Rosatom. 

Fadillah akan turut melawat fasiliti tenaga nuklear milik Rosatom di St. Petersburg yang seiringan dengan usaha Malaysia dalam meneliti potensi tenaga nuklear sebagai antara pelan peralihan tenaga jangka panjang ke arah pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Dalam pada itu, lawatan beliau juga dilihat sebagai bertepatan dengan pendekatan diplomasi tenaga Malaysia yang sentiasa berkembang.

Sebagai rekod, lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia pada Mei 2025 telah mendorong kepada komitmen Presiden Rusia Vladimir Putin untuk meneruskan usaha sama dalam sektor gas asli dan tenaga nuklear secara aman, termasuk memperluas penglibatan syarikat minyak nasional, Petronas di negara berkenaan.

Hubungan diplomatik Malaysia dan Rusia telah terjalin sejak 1967.

Pada 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan nilai dagangan mencecah RM11.46 bilion (US$2.48 bilion).

Eksport utama Malaysia ke Rusia termasuk produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan dan alat ganti serta makanan diproses.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda