Tuduhan Israel Melabel Aktivis GSF Sebagai Pengganas Adalah Biadap – PM Anwar

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tuduhan Israel melabelkan aktivis misi Global Sumud Flotilla (GSF) sebagai pengganas adalah kenyataan yang biadab.

Beliau menegaskan bahawa pelayaran GSF ke Gaza adalah misi kemanusiaan bagi membantu penduduk Palestin yang ditindas rejim Zionis, yang hakikatnya adalah pengganas sebenar.

“Suaranya daripada siapa? Daripada terrorist Israel, terrorist besar. Mereka (GSF) tidak membawa senjata, tidak membunuh orang.

“Mereka membawa makanan, minuman dan ubat-ubatan. Bagaimana GSF boleh dipanggil terrorist? Ini satu kenyataan yang biadab,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Jalan Pantai Sentral 2, di Lembah Pantai, di sini hari ini.

Anwar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Keselamatan Israel Itamar Ben-Gvir, yang menuduh aktivis misi GSF yang kini ditahan rejim itu sebagai pengganas menerusi satu rakaman video.