Tugas Polis Bukan Sekadar Profesion, Tetapi Amanah Besar – Saifuddin Nasution

KUALA LUMPUR, 25 Mac — Tugas seorang anggota polis bukan sekadar profesion, tetapi satu amanah besar kepada negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap siaga menjalankan tugas tanpa mengira waktu dan keadaan demi memastikan keamanan serta ketenteraman negara kekal terpelihara.

“Hari ini kita meraikan sebuah institusi yang telah berdiri teguh menjaga keamanan negara sejak lebih dua abad iaitu PDRM. 

“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh warga (polis). Jasa dan pengorbanan anda semua sentiasa dihargai dan dikenang,” katanya yang menzahirkan ucapan penghargaan sempena Hari Polis ke-219 menerusi hantaran di laman Facebook. 

Saifuddin Nasution turut berharap agar PDRM terus kekal profesional serta berintegriti dalam memikul tanggungjawab sebagai institusi yang sentiasa dekat di hati rakyat.