Ulang Tahun Keputeraan Yang Dipertua Pulau Pinang : KSU Kementerian Komunikasi Terima D.G.P.N

GEORGE TOWN, 29 Julai — Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Komunikasi Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa hari ini dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (D.G.P.N) yang membawa gelaran Datuk Seri, sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-84 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib.

Penganugerahan itu disampaikan dalam Istiadat Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2025 di Dewan Sri Pinang di sini, sebagai menghargai jasa dan sumbangan beliau dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam serta pembangunan dasar komunikasi negara.

Mohamad Fauzi, 57, sebelum ini pernah memegang pelbagai jawatan strategik termasuk Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) di Jabatan Imigresen Malaysia dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) di Kementerian Dalam Negeri.

Anak kelahiran Kepala Batas, Kedah itu telah menyumbang kepada pelbagai inisiatif transformasi dalam pentadbiran kerajaan, khususnya dalam pembangunan organisasi, keselamatan dan komunikasi sejak dilantik sebagai KSU Kementerian Komunikasi pada 3 Mei, 2023. 

Sepanjang perkhidmatannya, beliau turut menerima beberapa anugerah dan darjah kebesaran, antaranya Ahli Mangku Negara (A.M.N.), Setia Diraja Kedah (S.D.K.), dan Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M.), sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan beliau dalam sektor awam.

Hari ketiga istiadat itu turut menyaksikan 389 individu lain menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri termasuk dua penerima Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (D.M.P.N) dan 31 penerima Darjah Setia Pangkuan Negeri (D.S.P.N).

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda