UTM Tersenarai 10 Peratus Universiti Terbaik Dunia

JOHOR BAHRU, 19 Jun  — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kini berada di kedudukan 153 dunia bagi penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2026,  sekali gus meletakkan mereka dalam kelompok 10 peratus teratas universiti terbaik dunia dan ketiga terbaik di Malaysia.

UTM dalam kenyataan memaklumkan kedudukan itu melonjak 28 anak tangga berbanding tahun 2025, dengan peningkatan keseluruhan sebanyak 50 anak tangga sejak 2023, mengukuhkan reputasi sebagai universiti penyelidikan bertaraf global.

“UTM mencatat peningkatan ketara dalam beberapa indikator utama termasuk Jaringan Penyelidikan Antarabangsa yang menunjukkan peningkatan 112 anak tangga dan Sitasi per Staf Akademik meningkatkan sebanyak 45 anak tangga,” menurut UTM.

Sementara itu, indikator Reputasi Akademik pula meningkat lapan anak tangga, merupakan penyumbang utama penarafan ini sebanyak 31.1 peratus dan mencerminkan pengiktirafan antarabangsa terhadap institusi ini yang semakin meningkat.

Peningkatan 28 anak tangga bagi indikator Nisbah Pensyarah-Pelajar pula membuktikan komitmen universiti dalam memberikan yang terbaik dalam konteks kualiti pengajaran dan sokongan akademik.

“Pencapaian dalam elemen ini diperkukuh lagi dengan kejayaan UTM menempatkan diri di tangga ke-132 dunia bagi Kepelbagaian Pelajar Antarabangsa menerusi kelompok pelajar dari 85 buah negara,” menurut kenyataan itu. 

Penarafan QS WUR 2026 melibatkan lebih 8,467 institusi di seluruh dunia, dengan hanya 1,501 universiti tersenarai berdasarkan penilaian ketat merangkumi pelbagai indikator seperti pengajaran, impak penyelidikan, reputasi akademik, keterlibatan majikan, pengantarabangsaan dan kelestarian.

Dalam pada itu di peringkat nasional, UTM terus konsisten sebagai satu daripada lima universiti penyelidikan utama negara dengan mencatat kecemerlangan dalam pelbagai indikator teras yang sejajar dengan aspirasi negara dan piawaian global.

Sementara itu, Naib Canselor UTM Prof Dr Mohd Shafry Mohd Rahim dalam kenyataan sama berkata pencapaian ini memperkukuh hala tuju UTM sebagai sebuah universiti penyelidikan yang berasaskan inovasi, dengan kekuatan dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.

“Namun, apa yang lebih penting, UTM sentiasa berpegang pada misi untuk memanusiakan dan mendemokrasikan ilmu, di samping memastikan inovasi yang dihasilkan benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya. 

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda