159 Kandungan Palsu Berkaitan Krisis Tenaga Global Diturunkan Oleh MCMC – Fahmi

KUALA LUMPUR, 3 April — Sebanyak 159 kandungan palsu berkaitan krisis tenaga global  dikesan dan telah diturunkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh empat hari sejak 29 Mac lepas.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kandungan palsu itu melibatkan kenaikan harga minyak petrol, dakwaan kerajaan “bayar tol” di Selat Hormuz dan kenaikan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad.

Beliau berkata orang ramai perlu berhati-hati dan peka terhadap maklumat yang disebarkan kerana penyebaran informasi atau berita palsu boleh dikenakan tindakan.

“Dalam tempoh krisis tenaga global ini, kita berdepan dengan kandungan palsu yang direka oleh pihak tidak bertanggungjawab… ada guna AI (kecerdasan buatan) dan sebagainya termasuk menukar serta menyunting tajuk pada berita media arus perdana.

“Rakyat diharap mendapatkan maklumat yang sahih dan merujuk serta membuat semakan pada sumber yang tepat selain tidak berkongsi perkara yang tidak pasti,”  katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang PKR Wilayah Persekutuan 2026 di Bandar Tun Razak hari ini.

Sementara itu, Fahmi yang juga Ketua Penerangan PKR berkata pimpinan dan ahli parti perlu bersama-sama kerajaan membantu memberi penerangan kepada rakyat tentang situasi semasa susulan krisis yang melanda dunia.

Beliau berkata ahli parti juga wajar menjadi mata dan telinga kerajaan termasuk menangkis dakwaan mengenai kekurangan bekalan makanan di peringkat runcit yang dibuat oleh sesetengah pihak sehingga mencetuskan kegusaran awam.

Fahmi juga berkata kerajaan sedaya upaya melaksanakan pelbagai usaha dalam memastikan bekalan makanan mencukupi di pasaran.

“Terus laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti meragukan termasuk menyorokkan bekalan,” katanya.