SUBANG, 12 Mac — PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan sebanyak 2.3 juta kenderaan sehari selama enam hari mulai Rabu depan di rangkaian lebuh raya kendaliannya sempena sambutan Aidilfitri.
Pengarah Urusan PLUS Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata enam hari puncak berkenaan adalah pada 18 hingga 20 Mac dan 27 hingga 29 Mac.
“Angka itu mencatatkan peningkatan lebih 20 peratus, yang menggunakan rangkaian lebuh raya PLUS,” katanya pada sidang media di Menara PLUS, di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Dr Nadzrol Fadzilah Ahmad.
Beliau berkata lebih 6,000 petugas PLUS ditugaskan di lokasi terpilih bagi kelancaran perjalanan lebuh raya selain melaksanakan penambahbaikan kemudahan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) termasuk menyediakan 25 tandas kabin di plaza tol dan hentian sebelah yang terpilih.
Nik Airina berkata sebanyak 34 lokasi utama sepanjang lebuh raya akan diaktifkan Smart Lane bagi memastikan kelancaran perjalanan.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna lebuh raya merancang perjalanan ke destinasi masing-masing berpandukan jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA bagi perjalanan di Lebuhraya PLUS dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).
“Pada musim perayaan Tahun Baharu Cina yang lepas, trend perjalanan pengguna yang mengikut saranan jadual perjalanan MyPLUS-TTA dapat menikmati perjalanan yang lebih lancar dan singkat, namun hanya 29 peratus pengguna lebuh raya yang menggunakan jadual perjalanan digital itu,” katanya.
















Tinggalkan Balasan