NIBONG TEBAL, 17 Mac — Aktivis Arun Dorasamy atau nama sebenarnya Arumugam Dorasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Jawi di sini atas pertuduhan membuat kenyataan dengan niat menyebabkan kegentaran awam di media sosial, tahun lepas.
Arun, 56, didakwa membuat kenyataan di akaun Instragram miliknya yang dilihat dan didengar oleh seorang individu yang boleh mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam di sebuah pusat beli-belah di Batu Kawan dalam daerah Seberang Perai Selatan, pada 3.45 petang, 12 Mac 2025.
Kenyataan itu mengajak Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia mengadakan protes jalanan sekiranya tiada tindakan diambil terhadap pendakwah bebas Zamri Vinoth berhubung isu video kontroversi melibatkan tiga penyampai radio tempatan yang didakwa mempersenda satu perayaan agama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Pulau Pinang Datuk Nazran Mohd Sham bersama Timbalan Pendakwa Raya Airina Syazreen Zainurin memohon jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan peguam T. Gunaselaan, Balwant Singh Purba dan Dickson Ng yang mewakili tertuduh bersetuju dengan wang jaminan tersebut.
Majistret Nurul Aina Ahmad kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes.
Arun membayar wang jaminan tersebut.
Semalam, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata Arun antara empat individu yang akan dituduh di mahkamah berasingan di beberapa lokasi pagi ini kerana mengeluarkan kenyataan hingga mencetuskan perdebatan berbaur provokasi berhubung isu agama dan perkauman
Tiga individu lain adalah Zamri Vinoth di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur; Tamim Dahri (Mahkamah Majistret Langkawi, Kedah) dan P. Mahendra Bhoopaty (Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan).
Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka kertas siasatan terhadap Arun selepas menerima laporan berhubung kes itu di Batu Kawan, di sini pada 12 Mac 2025 berkaitan video di aplikasi WhatsApp yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan melalui video dimuat naik di Instagram miliknya.

















Tinggalkan Balasan