NEW DELHI, 12 Julai — Bekalan bahan api ke kedua-dua enjin pesawat malang Air India Boeing 787 Dreamliner yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di bandar Ahmedabad bulan lalu terputus sebelum pesawat itu terhempas sejurus selepas berlepas, menurut hasil siasatan insiden itu.
Menurut laporan awal Biro Penyiasatan Kemalangan Udara India (AAIB), kedua-dua enjin terhenti dalam beberapa saat selepas berlepas apabila suis bahan api di kokpit “beralih daripada posisi RUN kepada CUTOFF satu demi satu” dengan jarak masa satu saat.
“Dalam rakaman suara kokpit, seorang daripada juruterbang kedengaran bertanya kepada rakannya kenapa dia memutuskan bekalan bahan api. Seorang lagi juruterbang menjawab bahawa dia tidak melakukannya,” menurut laporan yang dikeluarkan pada Jumaat.
Pesawat itu mula kehilangan altitud sebelum melepasi tembok perimeter lapangan terbang, menurut laporan berkenaan.
Ketika itu, ia telah mencapai kelajuan udara 180 knot.
Juruterbang cuba menghidupkan semula enjin, tetapi hanya satu enjin yang pulih sebahagiannya.
Nyahpecutan teras Enjin 1 berhenti, kemudian berbalik dan mula menunjukkan tanda pemulihan, manakala Enjin 2 berjaya dihidupkan semula tetapi gagal menghentikan nyahpecutan kelajuan teras, menurut laporan itu.
Seorang daripada juruterbang sempat menghantar isyarat kecemasan “Mayday, Mayday, Mayday” sejurus sebelum nahas berlaku.
Penerbangan itu dikendalikan oleh Kapten Sumeet Sabharwal, manakala pembantunya ialah Pegawai Pertama Clive Kunder.
Rakaman CCTV lapangan terbang menunjukkan sumber kuasa kecemasan Ram Air Turbine pada pesawat diaktifkan semasa pendakian awal sejurus selepas berlepas, kata agensi siasatan.
“Pada peringkat penyiasatan ini, tiada tindakan disyorkan kepada pengendali Boeing 787-8 dan/atau pengilang enjin GE GEnx-1B,” katanya.
“Air India kini bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan, termasuk pihak berkuasa kawal selia. Kami terus bekerjasama sepenuhnya dengan AAIB dan pihak berkuasa lain sepanjang siasatan dijalankan,” kata syarikat penerbangan itu.
“Memandangkan siasatan masih berjalan, kami tidak dapat mengulas secara terperinci dan menyerahkan sebarang pertanyaan kepada pihak AAIB,” tambahnya.
Pada 12 Jun, penerbangan Air India AI171 yang membawa 242 orang termasuk 12 kru terhempas ke asrama Kolej Perubatan dan Hospital BJ di kawasan berpenduduk, mengorbankan semua yang berada dalam pesawat kecuali seorang.
Jumlah keseluruhan korban, termasuk mangsa di darat, ialah 260 orang.
Pesawat itu dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Gatwick, London.
Tinggalkan Balasan