BUDI95 Bermula, Pengguna Teruja Jadi Antara Terawal Terima Manfaat Inisiatif

KUALA LUMPUR, 29 Sept — Suasana di stesen-stesen minyak di sekitar ibu kota dan beberapa negeri tengah malam ini “agak meriah” berikutan peluasan inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) kepada 16 juta rakyat Malaysia mula dinikmati pada 12 tengah malam.

Mahu menjadi antara yang terawal menerima manfaat BUDI95 menyebabkan ada yang baru tamat kerja syif malam dan ada juga yang sengaja menunggu detik tengah malam di stesen minyak untuk menikmati harga baharu petrol RON95 pada kadar RM1.99 seliter.

Tinjauan Bernama di beberapa stesen minyak mendapati proses pengisian petrol dan pengesahan transaksi berjalan dengan lancar hasil kesungguhan petugas yang bersiap sedia sejak awal malam.

Pengguna yang ditemui ternyata berpuas hati kerana kaedahnya amat mudah, iaitu mereka hanya perlu membuat pengesahan menggunakan MyKad di stesen minyak dan bayar mengikut kaedah pilihan sama ada secara tunai, kad kredit atau debit, atau e-dompet. 

Kemudahan itu benar-benar menyenangkan dan membuktikan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar yang mesra rakyat.

Pengusaha stesen minyak di Jalan Tun Razak di sini, Wan Muhammad Hafidz berkata pihaknya telah membuat persediaan lebih seminggu bagi memastikan kelancaran pelaksanaan BUDI95 di premisnya.

Beliau berkata para pekerja dilatih untuk memberikan bantuan sekiranya pengguna menghadapi kesulitan semasa melakukan transaksi.

“Persediaan dari segi sistem dan latihan pekerja telah berjalan sejak awal. Kami sebenarnya sudah bersedia sejak seminggu lepas untuk menghadapi hari yang ke-30 bulan ini,” katanya ketika ditemui malam ini. 

Sementara itu, Safiyyah Affandi, 32, yang bekerja sebagai pembantu tadbir berkata proses pengisian petrol sangat mudah dan dia tidak berdepan dengan sebarang masalah.

Pendapat sama diakui Amirul Hakim, pengacara media sosial berusia 22 tahun berasal dari Batu Pahat, Johor, yang berkata dia hanya mengambil masa kurang dua minit untuk mengisi minyak ke dalam kenderaannya.

“Sangat mudah, tak sampai dua minit sudah selesai,” katanya yang menetap di ibu negara.

Di SELANGOR, Mohamad Johari Mustaffa yang ditemui di Petron Batu Tiga, Shah Alam mengakui tidak menghadapi masalah menggunakan kaedah baharu untuk menikmati inisiatif BUDI95.

Bagaimanapun, operator kilang berusia 23 tahun itu mengakui belum benar-benar membiasakan diri dengan penggunaan MyKad untuk menebus subsidi di stesen minyak, namun dia yakin kaedah itu bukanlah perkara rumit, sebaliknya boleh dikuasai dengan cepat.

Sementara itu, pemandu lori I. Ahrishan, 34, berkata pelaksanaan BUDI95 yang berkuat kuasa pada tengah malam ini membantunya menjimatkan perbelanjaan harian.

“Saya pergi balik kerja naik motosikal dan teringat yang tengah malam ini BUDI95 bermula. Lepas mengisi minyak penuh, saya perasan berjaya menjimatkan kira-kira RM1.50 berbanding perbelanjaan biasa,” katanya.

Di PERAK, seorang pereka bentuk model mainan, Oh Jee Shyan, 42, sanggup menunggu hingga detik tengah malam bagi menjadi antara yang pertama menikmati subsidi petrol RON95 di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh.

Oh yang membelanjakan kira-kira RM400 sebulan untuk petrol berkata menerusi BUDI95, dia dapat menjimatkan lebih kurang RM12 bagi setiap kali isian, seterusnya membantu mengurangkan kos bulanan.

Pengalaman berbeza dilalui seorang penuntut universiti, Rania Ardini Mohd Asri, 21, apabila mesin pembaca MyKad tidak dapat mengimbas kad pengenalannya pada percubaan pertama, namun kecekapan petugas di stesen minyak menjadikan proses selanjutnya lebih mudah.

Di PAHANG, pengawal keselamatan P S R Sundra Moorthi, 69, mengibaratkan inisiatif kerajaan itu sebagai serampang dua mata yang memberikan manfaat kepada rakyat melalui penjimatan kos minyak, sementara kerajaan pula berupaya menangani isu ketirisan subsidi.

“Kami menghargai langkah positif ini, apatah lagi cara mendapatkan minyak subsidi amat mudah hanya dengan menggunakan kad pengenalan. Saya berharap usaha murni ini diteruskan untuk jangka masa panjang,” katanya ketika ditemui di sebuah stesen minyak di Kuantan.

Di TERENGGANU, pekerja kedai makan, Saiful Lizam, 37, berkata BUDI95 amat bermakna kerana lazimnya dia membelanjakan RM6 untuk isian penuh tangki motosikalnya, namun kini hanya perlu membayar RM4.47.

Pendapat sama turut disuarakan seorang penjawat awam, Sulaimi Said, 58, yang tidak menyangka proses semakan dan pengesahan MyKad bagi menikmati BUDI95 boleh dilakukan dengan pantas tanpa menghadapi sebarang masalah.

 Di NEGERI SEMBILAN, seorang penjawat awam Mohd Hafiz Abdul Rahim, 28, yang berulang-alik dari Kajang, Selangor ke Seremban hampir setiap hari menyifatkan inisiatif BUDI95 sangat meringankan beban kewangannya dan proses pengisian petrol juga mudah. 

Pekerja hotel, Sharizal Ismail, 51, yang juga berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Bandar Sri Sendayan berkongsi bahawa setiap bulan dia membelanjakan RM200 untuk petrol kereta dan RM200 bagi motosikal, namun dengan BUDI95 perbelanjaan mungkin berkurangan antara 20 hingga 30 peratus.

Di JOHOR, R. Puspalata, 30, yang merupakan pekerja syarikat penerbangan mengungkapkan rasa syukur kerana lebihan wang hasil penjimatan BUDI95 boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas.

Pekerja sektor gig, Muhammad Iqbal Mohd Nizar, 24, turut berkongsi rasa yang sama kerana inisiatif BUDI95 memberikan kelegaan kepada pekerja yang banyak bergantung pada penggunaan kenderaan harian. 

Di KELANTAN, peniaga kuih dari Kampung Dewan Beta, Adenan Hussin, 55, berkata dia sanggup menunggu hingga tepat 12 tengah malam untuk merasai pengalaman menjadi antara yang terawal memperoleh manfaat BUDI95.

Di PERLIS, penghantar barang, Muhamad Shafiq Mohamad Fauzi, 28, ketika ditemui di Stesen Petronas Jejawi, Kubang Gajah, dekat Arau mengakui sengaja menunggu hingga tengah malam untuk mengisi penuh tangki motosikal Honda EX5 miliknya dan gembira kerana berjaya menjimatkan RM1.53.

Seorang pensyarah universiti awam, Shahrir Rizal Kasjoo, 40-an, berkata dia dapat menjimatkan kira-kira RM11 bagi mengisi kenderaan utiliti sukan miliknya, seterusnya berterima kasih kepada Kerajaan MADANI atas inisiatif itu.

Di PULAU PINANG, tinjauan di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Utara Selatan Sungai Dua arah utara merekodkan peningkatan jumlah pengguna sejurus pelaksanaan BUDI95 bermula.

 Muhammad Irfan Mohd Hafizi, 21, dari Desa Murni teruja menjadi antara pengguna terawal menikmati manfaat berkenaan dan penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Johor itu menyifatkan RM1.99 amat berpatutan serta membantu mengurangkan kos sara hidup, terutama bagi pelajar sepertinya.

Di KEDAH, dua pelajar, Chong Yi Kent dan Cheong Phey Qi, masing-masing berusia 24 tahun, teruja menikmati inisiatif berkenaan, lebih-lebih lagi sistem yang digunakan untuk pelaksanaannya juga sangat mudah.

Suri rumah, Fatin Norshalihah Azman, 30, dari Alor Setar berkata dia sangat teruja untuk mengisi minyak menerusi inisiatif BUDI 95 yang diberikan oleh kerajaan dengan kelayakan 300 liter setiap bulan untuk setiap individu itu.

Di MELAKA, suasana agak tenang dan seorang pekerja stesen minyak di Ayer Keroh, Nazri Shah berkata faktor hari bekerja dan persekolahan mungkin menyebabkan ramai pengguna tidak tergesa-gesa untuk mengisi minyak tengah malam ini.

Pelaksanaan BUDI95 secara berperingkat bermula pada 27 Sept lepas melibatkan kira-kira 300,000 anggota polis dan tentera sebelum diperluas kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dalam kalangan golongan B40 pada hari berikutnya dan bermula dari tengah malam ini, sebanyak 16 juta rakyat Malaysia juga menikmatinya.

BUDI95 menawarkan kaedah transaksi mudah kerana hanya memerlukan MyKad atau lesen memandu sah untuk pengesahan kelayakan secara automatik, manakala pembayaran boleh dibuat mengikut kaedah pilihan sama ada secara tunai, kad kredit atau debit, atau e-dompet. 

Setiap rakyat Malaysia yang layak, akan menerima siling kelayakan bulanan RON95 bersubsidi hingga 300 liter sebulan manakala pemandu e-hailing diberi pengecualian daripada siling kelayakan terbabit dan boleh memohon kelayakan tambahan bagi memastikan kelangsungan pekerjaan mereka.

Kerajaan menyarankan orang ramai memastikan butiran pada MyKad dan lesen memandu adalah tepat bagi mengelakkan kelayakan mereka terjejas dan semakan boleh dibuat menerusi portal rasmi BUDI95, iaitu www.budimadani.gov.my.