Chong Wei Saran Atlet Terima RTG

PUTRAJAYA, 15 Apr — Legenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei menyarankan agar atlet-atlet yang tersenarai dalam program Road To Gold (RTG) sebagai persiapan menghadapi Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 28), menerima tawaran tersebut.

Beliau yang merupakan ahli jawatankuasa RTG berkata tawaran yang diberikan tidak sepatutnya ditolak, memandangkan ia bakal memberi manfaat besar kepada atlet yang terlibat terutamanya yang bergerak secara profesional.

“Untuk saya sebagai bekas atlet sudah tentu gembira kalau kita dapat peluang macam ini daripada Majlis Sukan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sebab ia bukan sahaja tambah wang tetapi juga perkhidmatan sokongan.

“Jadi saya harap untuk kali ini, semua atlet akan tandatangan untuk RTG, sebab sebelum ini ada satu atlet yang tak tandatangan untuk masuk program RTG,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mesyuarat Jawatankuasa Road to Gold (RTG) yang berlangsung di Menara KBS hari ini.

Terdahulu Jawatankuasa RTG mengumumkan pemain perseorangan lelaki profesional Lee Zii jia, juara Kejohanan Badminton Asia bagi acara beregu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik bersama-sama 10 lagi pemain badminton tersenarai dalam program RTG kali ini.

Dalam pada itu beliau menafikan dakwaan penyertaan atlet di dalam program tersebut digunakan sebagai bahan promosi, sebaliknya tujuan RTG adalah untuk membantu meningkatkan lagi prestasi atlet sebagai persiapan LA 2028.

“RTG tidak ambil kesempatan untuk angkat dia (atlet) punya gambar ke, angkat dia punya penaja. RTG ini adalah untuk kita bagi khidmat apa yang mereka perlu untuk persiapan LA2028.

“Bagi saya kalau atlet tandatangan untuk masuk program ini mereka tidak akan rugi,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda