KOTA BHARU, 29 Jan — Kementerian Pengangkutan akan meneliti semula tawaran diskaun saman yang diberikan kepada kenderaan asing, termasuk dari Thailand bagi memastikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan yang dilaksanakan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata tawaran diskaun yang diperkenalkan sebelum ini termasuk bagi kesalahan tidak memiliki Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) adalah budi bicara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), khususnya bagi menggalakkan penyelesaian saman dalam tempoh ditetapkan.
Beliau berkata situasi kemasukan kenderaan asing sememangnya berlaku di negeri bersempadan Malaysia-Thailand dan pada masa ini pemandu kenderaan asing yang melakukan kesalahan serta melunaskan saman dalam tempoh ditetapkan layak menerima diskaun hingga 50 peratus.
“Bagaimanapun, sekiranya pendekatan ini didapati tidak mencapai keberkesanan yang diharapkan, kementerian akan meneliti semula mekanisme tersebut khusus untuk kenderaan asing.
“Kita akan mengadakan perbincangan lanjut dengan JPJ bagi menilai langkah penambahbaikan yang sesuai,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti BAS.My Kota Bharu di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan lebih 1,000 van Thailand dikesan bergiat aktif di sempadan di empat negeri dengan setiap kenderaan mampu mengaut keuntungan hingga RM30,000 sebulan bagi membawa penumpang.
Van berkenaan dikatakan membawa penumpang dari Selatan Thailand ke Lembah Klang hingga ke Johor dengan setiap penumpang yang terdiri daripada pekerja kedai makan itu dengan caj RM70 hingga RM150 seorang.
Sementara itu, Loke berkata tindakan tegas akan diambil terhadap syarikat pengendali bas, termasuk bas pelancongan yang beroperasi tanpa pemasangan peranti had kelajuan (SLD), selaras dengan pelaksanaan peraturan berkenaan di seluruh negara.
Beliau berkata penguatkuasaan penuh bermula selepas tamat tempoh fasa pertama pada 31 Dis lepas, dan syarikat bas yang gagal mematuhi syarat berkenaan akan dikenakan tindakan sewajarnya.
“SLD berfungsi mengehadkan kelajuan maksimum bas kepada 90 kilometer sejam, sekali gus menghalang pemandu daripada memandu melebihi had yang ditetapkan,” katanya menambah langkah itu penting bagi mengekang pemanduan berbahaya serta mengurangkan risiko kemalangan maut melibatkan kenderaan berat.
Selain itu, Loke berkata kerajaan turut memperkukuh pemantauan terhadap pemandu bas menerusi pembangunan pangkalan data pemandu oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat.
Beliau berkata sistem berkenaan membolehkan syarikat pengendali menyemak rekod kesalahan lalu lintas dan status lesen pemandu sebelum mereka diambil bekerja, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan operasi pengangkutan awam negara.
Mengulas mengenai pemasangan sistem telematik bagi memantau sikap dan tingkah laku pemandu bas, Loke berkata ia adalah langkah efektif kementeriannya dalam mencegah kemalangan melibatkan bas ekspres daripada berlaku.
Beliau berkata pemasangan sistem berkenaan kini dilaksanakan secara sukarela oleh syarikat pengendali bas sebelum diwajibkan sepenuhnya dalam tempoh terdekat.
“Sistem telematik itu merangkumi penggunaan sistem kedudukan global dan kamera litar tertutup termasuk rakaman papan pemuka, bagi memantau keadaan pemandu semasa bertugas, sama ada keletihan atau kurang fokus.
“Kita mahu memastikan pemandu bas dipantau secara berterusan bagi meningkatkan tahap keselamatan operasi dan mengurangkan risiko kemalangan melibatkan bas ekspres,” katanya.

















Tinggalkan Balasan