KUALA LUMPUR, 15 Jan — Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga Ketua Radio Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Azlan Idris yang meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi tadi.
Menerusi catatan di Facebook, Fahmi juga mengucapkan takziah kepada sahabat handai Allahyarham khususnya di Bernama.
“Saya turut bersedih dan merakamkan ucapan takziah kepada isteri Allahyahram Wan Syahrina Wan Ab Rahman yang merupakan pengacara dan Pengurus Saluran dan Kandungan Bernama TV.
“Segala jasa dan sumbangan beliau dalam industri penyiaran akan sentiasa dihargai. Semoga Allah SWT menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” katanya.
Azlan, 57, merupakan antara individu terawal yang menyertai Bernama Radio sejak penubuhannya pada 2007.
Sepanjang tempoh perkhidmatan, Allahyarham memainkan peranan penting dalam merangka hala tuju operasi stesen radio berkenaan termasuk melakar strategi bagi memastikan kelangsungan serta daya saing Bernama Radio ketika industri penyiaran negara berdepan tekanan hebat susulan ledakan teknologi digital yang berkembang pesat.
Beliau juga pernah berkhidmat di stesen televisyen TV3 dan NTV7.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri serta empat anak.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Taman Selasih, Gombak, kira-kira pukul 11 pagi ini, selepas dimandikan, dikafankan dan disolatkan di Masjid Usamah bin Zaid, Wangsa Maju.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Azlan dan berharap mereka tabah menghadapi ujian tersebut.
Menerusi catatan di Facebook, Dzulkefly berkata beliau secara peribadi melihat pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat dunia penyiaran negara.
Beliau berkata Allahyarham bukan sahaja ‘suara’ di sebalik tabir, malah antara tunjang utama yang membina Bernama Radio sejak 2007 dan dedikasi beliau mencorakkan hala tuju radio berita negara, akan sentiasa dikenang.
“Saya doakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Al-Fatihah,” katanya.

















Tinggalkan Balasan