KOTA BHARU, 30 Sept — Hampir dua juta pengguna jalan raya bakal berdepan tindakan disenaraihitam oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya gagal menjelaskan saman tertunggak sebelum 31 Dis ini.
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata jumlah itu merangkumi 1,458,577 saman kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS), 296,684 notis 114 (temu siasat berkaitan ubah suai kenderaan) dan 164,598 notis 115 (pemeriksaan kenderaan), menjadikan keseluruhan 1,919,859 notis saman tertunggak.
“Sepanjang tempoh Januari hingga semalam, sebanyak 855,300 notis saman telah diselesaikan menerusi tawaran kadar istimewa atau flat rateyang diperkenalkan kerajaan bermula 1 Jan lepas. Namun, angka saman tertunggak masih tinggi dan menunjukkan tahap kesedaran pengguna jalan raya masih rendah,” katanya.
Beliau berkata pengguna jalan raya yang menjelaskan saman tertunggak sepanjang tempoh tawaran kadar istimewa hingga 31 Dis, hanya dikenakan bayaran RM150 dan dikecualikan daripada Mata KEJARA (Sistem Pemberian Mata Demerit Kesalahan Jalan Raya).
“Selepas tamat tempoh tersebut, kadar kompaun akan kembali kepada RM300 serta dikenakan Mata KEJARA, manakala pesalah trafik juga akan disenarai hitam,” katanya kepada pemberita selepas Ops Khas Gempur Perdagangan di sini, malam tadi.
Muhammad Kifli berkata saman AwAS merupakan kategori paling banyak direkodkan, dengan lokasi tertinggi di Terowong Menora, Perak, yang mencatat purata 3,000 saman sehari pada musim cuti persekolahan dan perayaan.
“Negeri paling tinggi jumlah saman ialah Selangor, Perak dan Johor, iaitu antara negeri yang mempunyai paling banyak kamera AwAS. Setakat ini, terdapat 49 kamera AwAS yang beroperasi di seluruh negara bagi penguatkuasaan had laju dan lampu isyarat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan terdapat saman yang masih tertunggak sejak lebih 10 tahun, khususnya melibatkan notis 114 dan 115.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru semua pengguna jalan raya untuk segera melangsaikan saman tertunggak bagi mengelakkan tindakan lebih tegas selepas tamat tempoh tawaran.
“Masih ada lebih kurang tiga bulan lagi. Ambil peluang ini untuk menyelesaikan saman dengan kadar istimewa dan elak daripada dikenakan tindakan lebih berat selepas ini,” katanya.
Tinggalkan Balasan