BUTTERWORTH, 10 Okt — Polis mengesahkan identiti mayat seorang lelaki yang disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini semalam sebagai Lee Boon Han, 31, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya pada Rabu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata pengesahan identiti itu dibuat berdasarkan pengecaman oleh ahli keluarga mangsa.
Beliau berkata sebelum ini polis terima laporan daripada seorang lelaki memaklumkan anaknya gagal dihubungi dan hilang selepas tidak pulang ke rumah mereka di Paya Terubong setelah dikatakan mahu ke Perlis atas urusan kerja.
“Proses bedah siasat telah dijalankan di Hospital Seberang Jaya dan mangsa dipercayai dibunuh, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengesan mereka yang terlibat dalam kejadian itu.
“Polis membuka kertas siasatan kes itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Semalam, media melaporkan penemuan satu mayat lelaki tanpa identiti yang disumbat dalam sebuah bagasi berhampiran Flat Ampang Jajar, Permatang Pauh di sini pada 1.43 petang.
Difahamkan mayat ditemukan pekerja pembersihan saluran yang sedang menjalankan tugasan rutin di kawasan rumah pangsa berkenaan sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

















Tinggalkan Balasan