Indonesia Sahkan 48 Rakyatnya Ditahan Dalam Serbuan Sindiket Penipuan Dalam Talian Di Myanmar

ANKARA, 22 Nov — Indonesia mengesahkan bahawa 48 rakyatnya ditahan di Myanmar selepas pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi besar-besaran terhadap rangkaian penipuan dalam talian di Negeri Kayin, lapor Anadolu Ajansi.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada media nasional Myanmar, seramai 611 warga asing, termasuk 48 warganegara Indonesia, telah ditahan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam serbuan itu,” menurut kenyataan Kedutaan Besar Indonesia di Yangon.

“Selain itu, pada 20 Nov, maklumat turut diterima daripada  seorang warga Indonesia yang ditahan, menyatakan bahawa terdapat kira-kira 200 rakyat Indonesia yang ditangkap dalam operasi itu dan memohon bantuan untuk dihantar pulang ke Indonesia,” kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, kedutaan komited memastikan perlindungan ke atas semua warga Indonesia yang terkesan, termasuk memudah cara proses penghantaran pulang dan memastikan akses konsul diberikan.

Kedutaan turut menasihatkan rakyat Indonesia supaya berhati-hati ketika mempertimbangkan tawaran pekerjaan di luar negara, khususnya yang menawarkan gaji luar biasa tinggi tanpa proses pengambilan rasmi.