MELAKA, 23 Julai — Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka sedang menyediakan satu kertas cadangan bagi larangan pengilangan dan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) diberitahu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata kertas cadangan itu kemudian akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk diputuskan.
“Buat masa ini, belum ada pendirian daripada kerajaan negeri sama ada menyokong atau menolak larangan penjualan vape di Melaka kerana ia masih lagi di peringkat cadangan dan akan dibawa ke MMKN,” katanya.
Beliau menjawab soalan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang ingin tahu pendirian kerajaan Melaka berhubung penjualan rokok elektronik di negeri itu, pada Persidangan DUN Melaka di sini hari ini.
Ngwe berkata walaupun rokok elektronik sering dianggap alternatif yang lebih selamat kepada rokok konvensional, kandungan nikotinnya tetap membawa risiko ketagihan dan kesan buruk kepada kesihatan serta bukannya 100 peratus selamat digunakan.
Beliau berkata cecair rokok elektronik mengandungi pelbagai logam berat berbahaya antaranya nikel, kromium dan arsenik yang merupakan bahan karsinogen (diklasifikasi sebagai karsinogen Kumpulan 1 oleh Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa) dan boleh menyebabkan kanser.
“Ia juga mengandungi kobalt yang bersifat toksik kepada paru-paru serta kadmium yang boleh merosakkan buah pinggang dan turut menjadi punca kanser.
“Lebih membimbangkan, logam berat ini juga dikaitkan dengan masalah kesihatan mental termasuk kemurungan,” katanya.
Tinggalkan Balasan