Johor Tegas Banteras Pemburuan Haram Harimau Belang

JOHOR BAHRU, 17 Sept — Kerajaan Johor menegaskan tiada kompromi terhadap aktiviti pemburuan haram yang mengancam kelestarian harimau belang, khazanah negara yang sangat bernilai dan dilindungi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata Johor akan memperkukuh penguatkuasaan undang-undang, mempertingkatkan risikan dan pemantauan di kawasan dikenal pasti berisiko bagi membanteras pemburuan serta perdagangan hidupan liar.

Justeru, beliau menyeru orang ramai terus bekerjasama dengan melaporkan maklumat berkaitan pemburuan haram kepada pihak berkuasa. 

“Kerajaan negeri memberikan penghargaan tinggi atas kerjasama Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor melalui Operasi Khazanah Bersepadu sehingga tertangkapnya tiga lelaki berusia 28 hingga 29 tahun hasil maklumat awam.

“Tiga suspek itu ditahan selepas bangkai harimau belang ditemukan dalam sebuah kereta Perodua Alza di Felda Tenggaroh, Mersing semalam, dengan terdapat kecederaan serius dipercayai akibat jerat dan enam kesan tembakan pada kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ling berkata pihak berkuasa turut merampas beberapa barangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM294,007 dan suspek kini direman mengikut Seksyen 70(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).