KANGAR, 29 Julai — Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah kemajuan teknologi mesti bergerak seiring dengan pembinaan jati diri, nilai moral serta etika digital.
Bertitah pada penutup “NextGen AiREd Fest 2025” anjuran Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) di sini hari ini, baginda mahu anak-anak celik kecerdasan buatan (AI) berakhlak dan bertanggungjawab dalam memanfaatkan teknologi itu.
Berangkat sama ke majlis itu, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah usaha membudayakan AI dan robotik di peringkat akar umbi adalah pelaburan strategik jangka panjang dan baginda yakin Perlis mampu melahirkan bakat bertaraf dunia sekiranya usaha diperluas ke peringkat lebih tinggi dengan sokongan pelbagai pihak.
“Saya amat berbangga dan teruja melihat anak-anak Perlis dari bangku sekolah rendah hingga ke menara gading sudah mula menunjukkan keberanian untuk meneroka teknologi dan mencipta penyelesaian dunia nyata melalui AI.
“NextGen AiREd Fest bukan sekadar medan pertandingan dan pertunjukan bakat, bahkan medan pengukuhan literasi digital, pemikiran kritis dan daya inovasi generasi muda,” titah baginda.
Dalam pada itu, menurut kenyataan FCoEE, penganjuran program dua hari itu adalah inisiatif strategik yang menghimpunkan pelajar dari Kelab AiREd dan Junior AiREd dalam festival teknologi dan inovasi berprestij di peringkat negeri.
Kedua-dua kelab itu menjadi platform eksklusif yang memperkenalkan pelajar sekolah rendah dan menengah mengenai bidang teknologi semasa seperti robotik, pengaturcaraan dan AI secara sistematik serta berstruktur.
“Program ini dirangka bagi memenuhi keperluan dan aspirasi Pendidikan Abad Ke-21 serta selaras dengan Dasar Pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) dan Pelan Tindakan Pendidikan Digital Negara.
“Melalui pendekatan kompetitif dan interaktif, program ini bukan sahaja mencungkil bakat pelajar dalam bidang teknologi tetapi juga memperkukuh kemahiran insaniah seperti kepimpinan, pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan kerjasama berpasukan,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penglibatan rakan strategik antarabangsa dari Thailand selain rakan strategik tempatan termasuk Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis turut menyumbang dalam menjayakan program berkenaan.
Tinggalkan Balasan