KUALA LUMPUR, 3 April — Kementerian Kerja Raya (KKR) bercadang memperkasakan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk memantau dan mengurus cerun berisiko di seluruh negara dengan lebih bersistematik dan berkesan.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata langkah itu selari dengan keperluan semasa bagi memastikan aspek keselamatan infrastruktur awam sentiasa berada pada tahap optimum.
“Sebahagian inisiatif berkaitan penggunaan teknologi telahpun dilaksanakan termasuk pengenalan sistem amaran awal bagi membantu mengesan perubahan pada cerun secara masa nyata.
“Teknologi AI merupakan antara pelan kerja yang sedang diperhalusi dan akan dibentangkan untuk pertimbangan. Kita akan menilai semua cadangan dan seterusnya melaksanakan teknologi terkini termasuk AI dalam pengurusan cerun negara,” katanya selepas merasmikan prapelancaran Persidangan Antarabangsa mengenai Cerun 2026 (ICOS 2026), di sini, hari ini.
ICOS 2026 yang akan berlangsung dari 29 hingga 30 April ini, di sini, bakal menghimpunkan pemain industri, institusi kerajaan dan pakar cerun daripada pelbagai negara antaranya Norway, India, Hong Kong dan Jepun.
Ahmad berkata Sistem Pengurusan Cerun Bersepadu (ISMAS) yang telah lama dibangunkan oleh KKR juga akan diperkasa dengan elemen AI bagi meningkatkan kecekapannya.
“ISMAS telah lama digunakan, namun penambahan teknologi AI akan membantu dari segi analisis ramalan serta penyelenggaraan secara proaktif sekali gus meningkatkan keberkesanan pengurusan cerun,” katanya.
Beliau berkata setakat ini sebanyak 34,633 cerun di Jalan Persekutuan direkodkan di seluruh negara dengan kira-kira 10 peratus daripadanya dikenal pasti sebagai berisiko tinggi dan dipantau secara rapi oleh pihak berkuasa.
”Walaupun cerun yang dikategorikan sebagai berisiko tinggi ditandakan sebagai zon merah, tahap risiko tersebut masih dalam keadaan terkawal dan bergantung kepada faktor seperti cuaca serta pergerakan tanah,” katanya.
Selain itu, katanya, pelbagai kaedah mitigasi sedang dilaksanakan termasuk penggunaan teknik soil nailing, penanaman tumbuhan serta pemasangan bahan khas seperti slope protective mat bagi mengukuhkan struktur cerun.

















Tinggalkan Balasan