Kerajaan Pertimbang Cadangan Tubuh Suruhanjaya TVET – PM Anwar

MELAKA, 12 Jun — Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selaras dengan agenda transformasi TVET yang sedang giat dilaksanakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata  cadangan itu dikemukakan susulan pencapaian memberangsangkan pembangunan TVET di bawah Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk peningkatan jumlah pelajar yang menyertai program berkenaan.

“Saya menghargai peranan Majlis TVET, namun sebagai pihak yang turut memantau secara langsung perkembangan semasa, terdapat cadangan yang wajar dipertimbangkan, termasuk menjadikan TVET sebagai sebuah suruhanjaya. Kita akan lihat sejauh mana cadangan ini boleh dilaksanakan dalam masa terdekat berdasarkan perubahan yang sedang berlaku.

“Bayangkan jumlah pelajar dan jenis latihan yang semakin bertambah. Saya dan Kementerian Kewangan akan meneliti keperluan agar kemudahan TVET diberikan keutamaan, sama ada dari segi kelengkapan mesin, bentuk latihan, kepakaran, dan bagaimana sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan serta sektor swasta dapat diperkukuh bersama institusi TVET sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari TVET Negara 2025 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.