KUALA LUMPUR, 26 Okt — Kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan (KKM) berada pada tahap tertinggi bagi memastikan kelancaran dan keselamatan dari aspek kesihatan, perubatan serta kecemasan semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bermula hari ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata 512 petugas KKM dari 30 hospital termasuk tiga hospital universiti di seluruh negara telah digerakkan bagi menyokong operasi perubatan dan kesihatan sepanjang sidang kemuncak itu.
“Daripada jumlah itu, 240 petugas terdiri daripada Pakar Perubatan Kecemasan, Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Pemandu Ambulans serta 272 lagi melibatkan pegawai kesihatan awam, keselamatan dan kualiti makanan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pasukan itu diketuai oleh Dr Muhammad Yunus Tauhid Ahmad selaku Ketua Koordinasi dan Dr Hafiz Syarbaini Mansor sebagai Ketua Pegawai Perubatan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Dzulkefly berkata mereka bertanggungjawab memastikan aspek rawatan perubatan, kawalan penyakit berjangkit, keselamatan makanan serta kesiapsiagaan pasukan ambulans dan pasukan perubatan bergerak berada pada tahap optimum.
Beliau berkata KKM juga bersiapsiaga sepenuhnya di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan pintu masuk utama bagi ketibaan rasmi para Ketua Negara dan Ketua Kerajaan sempena Sidang Kemuncak ASEAN.
“KKM menyiapkan dua bilik rawatan perubatan yang beroperasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) seperti “hospital mini”, dilengkapi lapan katil, peralatan pemantauan pesakit, defibrillator dan ubat-ubatan kecemasan.
“Satu bilik dikhaskan untuk Ketua Negara dan Ketua Kerajaan serta satu lagi untuk delegasi dan petugas sidang,” katanya.
Dzulkefly berkata KKM turut memperketat kawalan kesihatan awam dengan menjalankan pemeriksaan hotel penginapan dua minggu sebelum persidangan, pensampelan makanan harian serta mengisytiharkan kawasan sidang sebagai zon larangan merokok.
“Di sebalik kejayaan penganjuran ini, para wira kesihatan terus berkhidmat memastikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 berlangsung dengan selamat, berdaya tindak dan penuh profesionalisme. Sama-sama doakan perjalanan persidangan kali ini lancar,” ujarnya.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan bermula hari ini hingga 28 Okt.

















Tinggalkan Balasan