JOHOR BAHRU, 2 April — Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor akan memperhebat operasi penguatkuasaan bagi mengekang penyeludupan atau penyelewengan minyak bersubsidi RON95.
Pengarahnya Lilis Saslinda Pornomo berkata tindakan itu khususnya melibatkan 31 stesen minyak berhampiran sempadan negeri itu yang terletak di bandar raya ini dan Iskandar Puteri.
“Pemantauan akan dipertingkatkan dengan pasukan beroperasi secara statik serta menerusi kaedah penyamaran, terutamanya di stesen minyak berisiko tinggi dan dikenal pasti panas,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata demikian ketika ditanya jika pemantauan dan penguatkuasaan akan diperhebat bagi mengekang penyeludupan RON95.
Lilis Saslinda berkata pihaknya turut memperkukuh kerjasama bersepadu termasuk dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha itu.
Selain itu, sesi libat urus bersama-sama pengusaha stesen minyak telah dilaksanakan bagi memastikan kefahaman menyeluruh terhadap penguatkuasaan larangan penjualan dan pembelian RON95 oleh kenderaan bernombor pendaftaran asing.
“Langkah ini bertujuan memastikan pematuhan penuh serta mengelakkan sebarang cubaan pelanggaran peraturan oleh kenderaan asing,” katanya.
Lilis Saslinda berkata pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pemilik atau pemandu kenderaan asing serta pengusaha stesen minyak yang melanggar peraturan dan tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada.
Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata pihaknya memberi jaminan bekalan minyak subsidi RON95 di negeri ini mencukupi sekali gus menasihatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik atau berulang.
Pihaknya juga telah mengadakan libat urus dengan pemilik stesen minyak bagi maklum balas dan mengemas kini maklumat mengenai bekalan RON95.
Beliau menggalakkan orang ramai membuat aduan rasmi berkaitan isu itu menerusi WhatsApp menerusi talian 019-8488000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, aplikasi Ez ADU KPDN atau pusat panggilan 1-800-886-800.

















Tinggalkan Balasan