Lanjut SKSPS, i-Saraan Cermin Komitmen Kerajaan Lindungi Wartawan Sambilan

KUALA LUMPUR, 14 Jun — Pelanjutan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan inisiatif caruman i-Saraan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pengamal media sambilan, mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan tiada golongan terpinggir daripada perlindungan sosial.

Wartawan sambilan Utusan Malaysia Muhamad Iqbal Hamdan yang juga Ahli Jawatankuasa Kelab Media Mutiara Pulau Pinang berkata lanjutan itu, bukti penghargaan kerajaan kepada wartawan sambilan yang sering terdedah dengan risiko ketika bertugas di lapangan.

“Saya berharap inisiatif sebegini diteruskan pada tahun-tahun akan datang, agar wartawan sambilan yang baharu hendak menceburi dunia kewartawanan menerima manfaat perlindungan yang sama,” katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP) Sayed Hesham Syed Idris berkata keputusan tersebut, memberi keyakinan dan jaminan kepada pengamal media sambilan untuk “beraksi” di lapangan bagi menghasilkan pelaporan berita.

“PPMP melihat lanjutan berkenaan mempamerkan keprihatinan kerajaan dalam menjaga kebajikan pemberita sambilan, memandangkan ramai dalam kalangan mereka bukan pekerja tetap serta tiada simpanan hari tua.

“Inisiatif ini menunjukkan kerajaan mendengar suara media terutama dalam kalangan wartawan sambilan yang tidak menikmati kemudahan seperti petugas tetap,” katanya sambal berharap Skim Insurans dapat diwujudkan kepada wartawan sambilan.

Presiden Kelab Media Elit Kedah (KMEK) M. Hifzudin Ikhsan pula berpandangan bahawa manfaat perlindungan Perkeso yang dilanjutkan bagi tempoh satu tahun lagi, merupakan inisiatif sangat bermakna buat ahli-ahli kelab tersebut.

“Caruman ini bukan sahaja memberikan jaminan dari sudut keselamatan ahli-ahli kelab yang berstatus sambilan, tetapi menegakkan hak mereka untuk mendapatkan perlindungan sewajarnya,” katanya.

Sependapat dengan M.Hifzudin, Presiden Persatuan Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) Ahmad Syafri Husnaini Mohamad berkata pelanjutan itu, secara tidak langsung membantu meringankan beban petugas sambilan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Harapan kami agar inisiatif ini dapat diteruskan pada masa hadapan, bagi melindungi keselamatan wartawan dan manfat untuk  keluarga mereka,” katanya.

Mengenai i-Saraan, Setiausaha Persatuan Pengamal Media Pahang (Pahang Press) Mohd Zalani Atan pula menyifatkan inisiatif itu, mampu memberi ruang kepada wartawan sambilan atau stringer merancang persaraan dengan lebih teratur.

“Kita sedia maklum, ramai dalam kalangan pengamal media sambilan tidak mempunyai caruman tetap atau perlindungan sosial seperti yang dinikmati pekerja bergaji bulanan. Saya percaya ramai rakan media akan sedar betapa pentingnya memikirkan soal kewangan jangka panjang,” katanya.

Presiden Kelab Pengamal Media Melaka (Pendika) Amir Mamat pula menyifatkan usaha itu dapat mengurangkan beban golongan pemberita sambilan, selepas mereka menamatkan perkhidmatan kelak terutama melibatkan aspek simpanan pada hari tua.

Sementara itu, pemberita sambilan di Perlis Mohd Aizat Sharif Fisalluddin, 41, berkata inisiatif i-Saraan KWSP untuk petugas sepertinya memberikan ruang untuk wartawan sambilan menikmati simpanan persaraan seperti pekerja tetap lain.

“Apabila diperluas kepada pengamal media, maka ia memberi satu sinar harapan kepada pemberita sambilan untuk bernafas dan meneruskan kehidupan,” katanya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil pada majlis kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, mengumumkan peruntukan sebanyak RM53,100 tahun ini bagi kedua-dua inisiatif.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM37,170 diperuntukkan bagi lanjutan perlindungan SKSPS yang dilaksanakan hasil sinergi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dengan Perkeso, manakala RM15,930 lagi untuk caruman i-Saraan KWSP.

Antara manfaat perlindungan di bawah SKSPS ialah faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat dan elaun layanan sentiasa, sementara i-Saraan akan memberikan manfaat selepas persaraan mereka kelak.

SKSPS diperkenalkan semasa sambutan HAWANA 2024 di Sarawak dan setakat ini, 531 pengamal media sambilan telah mendapat manfaat. 

Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, majlis kemuncak HAWANA 2025 yang dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara itu, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda