Lelaki Filipina Ditahan Di LTAKK Disyaki Guna Pas Palsu

PUTRAJAYA, 1 Ogos — Cubaan seorang lelaki Filipina untuk meninggalkan Sabah dengan menggunakan pas yang mempunyai endosmen palsu gagal apabila berjaya dihalang oleh Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), semalam.

Dalam kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan hasil pemeriksaan terhadap lelaki berumur 21 tahun itu turut menjumpai endosmen pas lawatan sosial bagi kemasukan bertarikh 28 Julai dan endosmen keluar bertarikh 30 Julai.

“Pihak berkuasa percaya kedua-dua endosmen terbabit adalah palsu kerana tidak direkodkan dalam sistem Jabatan Imigresen. Suspek seterusnya ditahan kerana disyaki cuba mengelirukan pihak berkuasa tentang tempoh sebenar keberadaannya di Malaysia,” menurut AKPS.

Turut ditemukan dua pas masuk penerbangan yang dimiliki lelaki itu, iaitu satu untuk penerbangan ke Kuala Lumpur pada 30 Julai dan satu lagi ke Manila, Filipina pada hari berikutnya dan tujuan pemilikan dua pas masuk itu sedang disiasat untuk mengenal pasti modus operandi yang digunakan.

Menurut AKPS, lelaki berkenaan telah diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 kerana memiliki atau menggunakan pas palsu tanpa kuasa yang sah.

“AKPS memandang serius sebarang cubaan pemalsuan dokumen perjalanan dan akan terus memperketat kawalan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan serta kedaulatan negara,” menurut agensi itu.