Lubang Benam: Jalan Burma Di George Town Tutup Sementara

GEORGE TOWN, 21 Sept — Jalan Burma di sini ditutup sementara hari ini, susulan kejadian lubang benam berhampiran simpang masuk ke Jalan Transfer.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memaklumkan penutupan membabitkan kedua-dua arah dari Jalan Penang iaitu dari Komtar dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pulau Pinang menuju ke Jalan Burma, bagi membolehkan kerja pembaikan segera dilakukan.

Susulan itu, pengguna jalan raya akan dilencongkan ke Jalan Lim Chwee Leong sepanjang tempoh pembaikan.

“Anggota warden trafik MBPP dan polis turut ditempatkan di lokasi bagi mengawal aliran lalu lintas,” menurut MBPP menerusi hantaran Facebook.

MBPP menasihatkan orang ramai merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif bagi mengelakkan kesesakan.