Malaysia Pertingkat Penggunaan AI, Data Perkukuh Sistem Penjagaan Kesihatan

PUTRAJAYA, 7 April — Malaysia mempertingkatkan penggunaan sains, data dan kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh sistem penjagaan kesihatan seiring dengan komuniti global dalam menyambut Hari Kesihatan Sedunia 2026 yang mengangkat tema “Bersama Demi Kesihatan, Berdiri Teguh Berteraskan Sains”.

Kementerian Kesihatan (KKM) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menerusi kenyataan bersama hari ini memaklumkan tema berkenaan menekankan kepentingan kerjasama saintifik dalam melindungi kesihatan manusia, haiwan, tumbuhan serta alam sekitar secara menyeluruh melalui pendekatan One Health.

“Selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan agenda Reformasi Penyampaian Perkhidmatan Kesihatan, Malaysia sedang memperkukuh landasan digital bagi memacu sistem kesihatan lebih terhubung, responsif dan berasaskan bukti,” menurut kenyataan bersama itu.

KKM memaklumkan antara keutamaan ialah memperkukuh sistem infrastruktur kesihatan digital, menambah baik pengendalian sistem, memperkasakan piawaian data kesihatan serta membangunkan platform bersepadu yang menggabungkan maklumat daripada perkhidmatan klinikal, makmal, sistem pengawasan serta program kesihatan awam.

 “Kementerian turut memperluas penggunaan AI sebagai pemangkin strategik dalam penyampaian penjagaan kesihatan dan kesihatan awam. Inisiatif sedia ada merangkumi saringan, sokongan diagnosis, ramalan penyakit serta pelaksanaan program kesihatan awam secara bersasar berteraskan kecekapan, ketepatan dan kesaksamaan dalam perkhidmatan awam,” menurut kenyataan bersama itu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataan sama berkata dalam berdepan cabaran kesihatan yang semakin kompleks, dasar kesihatan Malaysia perlu sentiasa adaptif dan berasaskan bukti.

Beliau turut menegaskan komitmen kerajaan untuk terus melabur dalam sistem kesihatan yang lebih kukuh, penggunaan data berasaskan bukti serta kerjasama bermakna bagi mempertingkatkan keselamatan serta daya tahan sistem kesihatan negara.

Sementara itu, Wakil WHO ke Malaysia, Brunei dan Singapura Dr Rabindra Abeyasinghe berkata organisasi berkenaan akan meneruskan kerjasama erat dengan semua agensi kebangsaan yang diterajui KKM serta rakan kongsi melalui penerapan kuasa kolaborasi saintifik global untuk menangani cabaran kesihatan, melindungi komuniti serta memperluas akses saksama kepada penjagaan kesihatan.

 Menurut kenyataan bersama itu, Malaysia terus melaksanakan rangka kerja One Health menerusi pengukuhan kerjasama merentasi sektor kesihatan manusia, haiwan dan alam sekitar.

“Inisiatif strategik seperti penganjuran Bengkel Penghubung Nasional IHR-PVS serta Kajian Separuh Penggal Pelan Strategik Kebangsaan bagi Zoonosis telah meningkatkan penyelarasan dalam aspek keselamatan makanan, rintangan antimikrob, kesihatan persekitaran serta keselamatan kesihatan.

“Pemerkasaan penggunaan data alam sekitar dan kesihatan membolehkan penilaian impak yang menyeluruh, memperkukuh perancangan adaptasi terhadap perubahan iklim serta sistem berdaya tahan,” menurut kenyataan itu.