KUALA LUMPUR, 27 Mei — Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) merakamkan ucapan terima kasih kepada Khairul Azwan Harun atas sumbangan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi Halal Development Corporation (HDC) Bhd.
MITI menerusi hantaran di laman X hari ini berkata Khairul Azwan memegang jawatan berkenaan mulai 18 Mei 2023 sehingga 17 Mei 2025.
“MITI berharap agar tuan terus komited dan aktif dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada negara dalam pelbagai bidang pada masa hadapan,” menurut kementerian berkenaan.
Khairul Azwan memiliki ijazah sarjana dalam pengurusan daripada Open University Malaysia dan pernah mengikuti kursus kepimpinan global di Harvard Kennedy School of Government, Amerika Syarikat.
Beliau masih menggalas peranan sebagai Pengerusi VSolar Group Bhd dan sebelum ini pernah menjadi pengerusi di mTouche Technology Bhd serta Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV).
HDC adalah peneraju utama kepada pembangunan ekosistem dan infrastruktur halal yang bersepadu dan komprehensif bagi meletakkan Malaysia ke arah negara paling berdaya saing menerajui industri halal global.
Ditubuhkan pada 18 Sept 2006, ia merupakan penyelaras utama bagi menggalakkan penyertaan dan memudahkan pertumbuhan pemain industri dalam pembangunan ekosistem halal Malaysia.
Tinggalkan Balasan