Op Luxury: JPJ Melaka Sita Empat Kenderaan Mewah Bernilai RM1 Juta

MELAKA, 20 Ogos — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka menyita empat kenderaan mewah bernilai hampir RM1 juta dalam ‘Op Luxury’ sejak dua hari lepas.

Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata operasi secara ‘Snap n Check’ itu bertujuan mengesan pemilik kenderaan yang gagal memperbaharui Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan tiada perlindungan insurans.

Beliau berkata operasi dijalankan di sekitarJalan Tun Ali, Jalan Tun Razak, di Jalan Taming Sari, di Jalan Melaka Sentral di sini, dan kenderaan yang disita ialah Porsche, Mercedes, Alphard dan Audi.

“Pemilik kenderaan-kenderaan ini berumur 25 hingga 54 tahun, dan alasan yang sering diberikan ialah tidak menyedari tarikh tamat dan terlupa untuk memperbaharui cukai jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Siti Zarina berkata JPJ akan terus menjalankan operasi pemantauan bagi memastikan setiap pemilik kenderaan, termasuk kereta mewah, mematuhi undang-undang jalan raya yang ditetapkan dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan pengguna jalan raya.

“Memandu tanpa LKM dan insurans bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga boleh membawa risiko besar kepada nyawa sendiri dan orang lain,” katanya.