Polis Sita 30 Motosikal Dalam Ops Bersepadu Samseng Jalanan Di Ipoh

IPOH, 7 Dis — Polis menyita 30 motosikal atas kesalahan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 [Akta 333] menerusi Ops Bersepadu Samseng Jalanan di Jalan Pasir Puteh, dekat Station 18, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata operasi yang dilaksanakan bermula dari 12 tengah malam hingga 12 tengah hari itu melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Perak dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata seorang lelaki turut ditangkap atas kesalahan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya di bawah Seksyen 42 (1) APJ 1987.

“Dalam operasi yang sama, sebanyak 158 saman trafik, 82 saman dan notis JPJ serta 11 kompaun dan notis JAS telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 115 motosikal dan 82 kereta ditahan serta 335 individu berumur antara 15 hingga 42 tahun telah diperiksa, terdapat juga dalam kalangan mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noor Hisam berkata 11 lelaki termasuk seorang remaja lelaki berumur 16 tahun ditahan kerana didapati positif pelbagai jenis dadah dan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

Beliau berkata JSPT Kontinjen Perak akan terus menjalankan operasi bersepadu dari semasa ke semasa bagi memperkasakan lagi tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap samseng jalanan di Perak. 

“Langkah ini merupakan antara usaha polis Kontinjen Perak dalam mengurangkan kes kemalangan jalan raya, di samping membantu mencegah berlakunya jenayah jalanan, khasnya di Perak,” katanya.