Polis Tahan Lelaki Berusia 23 Tahun Disyaki Terlibat Penipuan Dalam Talian

KLUANG, 20 Nov — Seorang lelaki berusia 23 tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penipuan dalam talian, susulan serbuan di sebuah premis kediaman di daerah ini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh, berkata tangkapan terhadap suspek warga tempatan itu dilakukan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Kluang.

Beliau berkata polis merampas beberapa barangan dengan anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM200,000 semasa serbuan dijalankan.

“Antara barangan yang dirampas ialah 30 telefon bimbit; wang tunai berjumlah RM82,571; 12 kad Touch ‘n Go e-wallet; seutas rantai emas; lima keping jongkong emas dan satu mesin pengira wang.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan kad debit Touch ‘n Go untuk mengeluarkan wang hasil penipuan melalui mesin ATM. Kes disiasat di bawah Seksyen 424A/420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti tempoh suspek menjalankan kegiatan itu, serta sama ada ia dilakukan secara sendirian atau berkumpulan.