RTM Sasar Jenama Global Dalam 3-5 Tahun – Ashwad

KUALA LUMPUR, 2 April — Radio Televisyen Malaysia (RTM) terus berevolusi selari perkembangan teknologi dan landskap dunia media moden bagi mencapai matlamat memainkan peranan lebih agresif di peringkat antarabangsa.

Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail berkata beliau meletakkan sasaran untuk membawa jenama RTM ke peringkat global dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Beliau berkata perkara itu boleh dicapai memandangkan kedudukan Malaysia yang disifatkannya unik, istimewa dan strategik dalam landskap dunia.

“Kita berada dalam ASEAN, sebuah rantau yang paling aman dan stabil, yang juga bakal menjadi blok ekonomi ketiga terbesar di dunia, bukan sahaja melalui saiz populasi tetapi juga kerencaman kepelbagaian bangsa, budaya dan agama. Dalam konteks ini, media kita perlu lebih berani untuk ke hadapan.

“Kita juga telah mengambil langkah pertama dalam usaha membawa RTM ke pentas antarabangsa melalui pengenalan saluran RTM World, platform untuk menjadi pemain global dan memperlihatkan bahawa RTM adalah pintu gerbang ASEAN,” katanya.

Ashwad berkata demikian dalam sesi temubual khas bersama media di Angkasapuri di sini hari ini, sempena sambutan ulang tahun RTM yang ke-80.

Beliau berkata dalam mendukung aspirasi ke pentas global, RTM telah menjalin kerjasama dengan pemain industri media dalam kalangan negara ASEAN, selain mengorak langkah bekerjasama dengan rakan strategik mencakupi pelbagai syarikat berita di Eropah, Amerika Syarikat dan China, termasuk agensi penyiaran awam dari pelbagai negara.

“Usaha kita untuk berada di pentas tertinggi ini bukan peranan saya seorang, tetapi memerlukan seluruh kekuatan kira-kira 4,000 staf RTM selaku duta kecil untuk bersama-sama membawa nama RTM di pentas antarabangsa, termasuk menyertai perbincangan dan dialog di peringkat global.

“Saya percaya semua bahagian dan unit dalam RTM sudah memiliki kekuatan yang diperlukan untuk mengorak langkah lebih jauh. Cuma tinggal bagaimana kita mahu lebih kreatif dalam memahami landskap keperluan dan kehendak penonton serta pembaca dari segi apa yang ingin mereka lihat dan dengar,” katanya.

Ashwad berkata perkara paling penting dalam setiap langkah ke hadapan yang diambil RTM ialah kekal menjadi sumber maklumat paling dipercayai, selain pada masa sama menjadi saluran yang sentiasa mendidik, menghibur serta memberi inspirasi kepada semua.

“Pada masa kini, semestinya antara cabaran paling kritikal untuk terus menjadi antara sumber paling dipercayai ialah bagaimana tangkasnya kita mendepani dan menangkis pelaporan berita palsu,” katanya.