KUALA LUMPUR, 26 Okt — Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio memuji Malaysia kerana menjalankan tanggungjawab dengan baik sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
Beliau menegaskan bahawa ASEAN merupakan forum utama yang menjadi saluran penting bagi AS untuk berinteraksi dengan rantau ini.
“Saya berpendapat Malaysia telah melaksanakan tugas dengan baik sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini.
“Kami menggunakan peluang daripada kepengerusian itu untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi meredakan dan akhirnya menamatkan konflik antara Kemboja dan Thailand. Malah, kami berharap sesuatu akan dapat dimeterai di sini,” katanya kepada pemberita di dalam pesawat ketika dalam perjalanan dari Qatar ke Kuala Lumpur.
Kenyataannya itu dikongsikan menerusi laman web Jabatan Negara AS.
Perjanjian damai mengenai gencatan senjata dijangka ditandatangani pada Ahad antara Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Majlis pemeteraian itu akan disaksikan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kapasiti beliau sebagai Pengerusi ASEAN, serta Presiden AS Donald Trump.
Thailand dan Kemboja telah lama berselisih mengenai sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terbaru mencetuskan konfrontasi ketenteraan pada 24 Julai.
Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand ketika itu, Phumtham Wechayachai, yang berjaya meredakan ketegangan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Gencatan senjata itu, yang dilihat secara meluas sebagai pencapaian besar ASEAN, berjaya mengelakkan peningkatan konflik ketenteraan yang lebih serius serta memastikan keselamatan ribuan penduduk di kedua-dua belah sempadan.
Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dari 26 hingga 28 Okt di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Filipina akan mengambil alih sebagai Pengerusi ASEAN tahun hadapan.















Tinggalkan Balasan