KUALA LUMPUR, 1 April – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor mengesahkan berlaku kejadian kebakaran saluran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor pagi Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.23 pagi dan operasi pemadaman sedang dijalankan.
Ahli Parlimen Subang Jaya Wong Chen yang turut berkongsi gambar kejadian menerusi Facebook beliau berkata anggota pasukan PANTAS Majlis Bandaraya Subang Jaya turut dalam perjalanan bagi membantu JBPM.
Beliau turut mengingatkan semua penduduk khususnya di kawasan berhampiran supaya berwaspada, sambil mendoakan semua yang terkesan selamat serta tabah, dan beliau juga yakin anggota bomba berupaya menangani kebakaran besar berkenaan.
Sementara itu menerusi siaran langsung seorang pengguna TikTok menggunakan akaun Perodua PuchongJayaJeffry, setakat 9.37 pagi ini api masih marak, walaupun kebakaran sudah berlarutan lebih sejam.
Beliau mengakui terdengar letupan kuat sebelum melihat api dilihat menjulang tinggi, dan tetap merasai bahang kebakaran itu walaupun berada cukup jauh dari lokasi kejadian.
Beliau berkata pasukan JBPM telah tiba di lokasi bagi menjalankan operasi memadam dan menyelamat.
Tinggalkan Balasan