KUALA LUMPUR, 20 Mac — Kenyataan Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung isu subsidi diesel disifatkan tidak mencerminkan keseluruhan fakta ekonomi semasa dan berpotensi mengelirukan rakyat, khususnya ketika kerajaan melaksanakan penstrukturan semula subsidi bahan api.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sivamalar Genapathy berkata kenyataan itu dilihat mengulangi naratif lama yang bersifat emosional tanpa mengambil kira keperluan reformasi subsidi demi memastikan kemampanan fiskal negara.
Beliau berkata sistem subsidi sebelum ini terdedah kepada ketirisan serius yang menelan berbilion ringgit setiap tahun, selain sebahagian daripadanya tidak dinikmati rakyat tempatan sebaliknya disalahgunakan melalui aktiviti penyeludupan dan penggunaan oleh pihak yang tidak layak.
“Ketika mereka diberi mandat mentadbir, isu ketirisan ini dibiarkan berlarutan tanpa pembetulan yang tuntas. Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar penting untuk menutup ruang ketirisan serta memastikan subsidi hanya dinikmati golongan benar-benar layak.
“Dakwaan bahawa pelarasan harga diesel akan membebankan rakyat perlu dilihat secara bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sivamalar berkata pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar turut memastikan sektor kritikal seperti logistik, pengangkutan awam dan pertanian terus dilindungi melalui mekanisme khusus yang diperkenalkan kerajaan.
Beliau berkata kerajaan masih mengekalkan harga RON95 bersubsidi kira-kira RM1.99 seliter berbanding harga pasaran RON97 kira-kira RM3.85 sebagai langkah melindungi majoriti rakyat, meskipun berdepan tekanan harga minyak global susulan konflik di Asia Barat.
Kerajaan juga melaksanakan pelbagai langkah mitigasi bagi mengawal kesan rantaian terhadap kos sara hidup, termasuk bayaran awal Sumbangan Tunai Rahmah berjumlah RM1.3 bilion kepada 5.2 juta penerima menjelang Aidilfitri.
Selain itu, bantuan khas turut disalurkan kepada penjawat awam, pesara dan veteran, serta penghargaan kepada lebih 70,000 imam, bilal, guru KAFA dan warga pengurusan masjid.
Sivamalar berkata cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan reformasi subsidi mungkin kedengaran popular, namun tidak menyelesaikan isu asas dan hanya mencerminkan pendekatan tanpa hala tuju jelas.
“Sekiranya benar mahu membela rakyat, kemukakan pelan mitigasi yang jelas, menyeluruh dan berdaya laksana, bukan sekadar menimbulkan kebimbangan atau membina persepsi sempit,” katanya.
Hamzah sebelum ini berkata kenaikan harga diesel sebanyak 80 sen kepada RM4.72 seliter tidak wajar dilaksanakan ketika ini sebaliknya dicadang ditangguhkan sehingga selepas Aidilfitri atau dibuat secara berperingkat.

















Tinggalkan Balasan