Sultan Pahang Tinjau Lokasi Kemalangan Pesawat Pejuang

KUANTAN, 22 Ogos — Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke lokasi insiden kemalangan membabitkan sebuah pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan.

Menurut hantaran di Facebook Kesultanan Pahang hari ini, keberangkatan Al-Sultan Abdullah turut diiringi Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris.

Laman Facebook Kesultanan Pahang memaklumkan baginda turut berkenan menziarahi dua anak kapal yang terselamat dalam kejadian itu di Rumah Sakit Angkatan Tentera (RSAT), Pangkalan Udara Kuantan.

“Mereka ialah juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, serta jurusensor senjata pesawat Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28,” menurut kenyataan itu.

Semalam, media melaporkan sebuah pesawat tempur F/A-18D Hornet milik TUDM terlibat dalam kemalangan di kawasan landasan Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah (Pangkalan Udara Kuantan) pada 9.05 malam.