UiTM Perkukuh Kerjasama Malaysia-Jepun Dalam Inovasi Seramik

SHAH ALAM, 2 April — Universiti Teknologi MARA (UiTM) sedang mengadakan program ke kawasan seramik terkenal di Jepun sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh kerjasama Malaysia-Jepun dalam warisan budaya, pendidikan tinggi dan industri kreatif.

UiTM dalam satu kenyataan berkata delegasi program itu yang diketuai Naib Canselor Prof Datuk Dr Shahrin Sahib melawat pusat seramik utama di Tajimi, Seto dan Tokoname, yang diiktiraf di peringkat antarabangsa atas kecemerlangannya dalam ketukangan seramik, inovasi dan integrasi industri.

Antara aktiviti program selama empat hari itu yang bermula semalam (1 April) termasuk sesi libat urus bersama institusi seperti Tajimi City Pottery Design and Technical Center,  Aichi Prefectural Ceramic Museum dan beberapa universiti terkemuka termasuk Nagoya Institute of Technology and Aichi University of the Arts.

Program itu juga menyokong aspirasi Malaysia untuk menubuhkan Hab Seramik Tengku Permaisuri Selangor (TPS), sebagai pusat kecemerlangan yang mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan, reka bentuk, industri dan warisan budaya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah serta Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang merupakan Pro-Canselor UiTM turut berkenan berangkat menyertai program tersebut.

Shahrin berkata UiTM berhasrat untuk belajar daripada pengalaman Jepun dalam mengintegrasikan kraftangan tradisional dengan teknologi moden dan amalan industri.

“UiTM menghargai peluang untuk belajar daripada ekosistem padu seramik Jepun, terutamanya dalam bidang kecemerlangan teknikal, inovasi reka bentuk dan kerjasama institusi.

“Kami berharap dapat memupuk kerjasama jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada Malaysia dan Jepun,” katanya.

Beliau berkata UiTM merakamkan penghargaan atas sokongan serta kerjasama berterusan daripada institusi dan pihak berkepentingan Jepun dan komited untuk terus memperkukuh pertukaran akademik, kerjasama penyelidikan dan diplomasi budaya antara Malaysia dan Jepun.